Saya Bukan Nak Populariti - Syamsul Debat


SEREMBAN - "Saya bukan nak populariti, tetapi saya mahu berkhidmat kepada masyarakat. Saya minta peluang diberikan untuk membuktikan saya dapat memberikan perkhidmatan terbaik," kata calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Syamsul Amri Ismail.

Beliau yang juga penceramah bebas dikenali Syamsul Debat, 41, menyifatkan keputusannya bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini kerana keinginannya membangunkan Sikamat dan membantu penduduk di kawasan berkenaan.

DUN Sikamat menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Syamsul, Aminuddin Harun (PKR), Rahim Yusof (PAS) dan Bujang Abu (Bebas).

Bagaimanapun, Syamsul berkata, beliau akan bertanding secara berhemah dan setiap calon yang bertanding itu mempunyai kelebihan serta matlamat masing-masing.

"Siapa pun bertanding mereka ada sebab sendiri tetapi saya akan buat terbaik dan pujuk pengundi untuk menginsafi supaya mereka membuat pilihan lebih baik kerana kesannya adalah untuk tempoh lima tahun mendatang. kita mahu penduduk tidak tersilap membuat pilihan.

"Popular itu perkara lain, apa yang penting meyakinkan pengundi yang saya memang nak berkhidmat kepada mereka. Ramai tidak tahu saya orang Sikamat sedangkan sudah 10 tahun saya menetap di sini," katanya ketika ditemui selepas menghantar borang pencalonan di Dewan Serbaguna Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, selepas ini beliau akan berkempen dan bertemu penduduk bagi mendengar setiap permintaan serta apa yang diinginkan mereka selepas PRU-14 ini.

"Alhamdulillah, setakat ini maklum balas diterima amat baik dan mereka menyenangi saya," katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com