Satelit Tiangong-1 Lintas Dua Lokasi Di Malaysia


KUALA LUMPUR - Satelit Tiangong-1 milik China memasuki atmosfera bumi bermula semalam dan dijangka melintasi Malaysia hari ini menerusi dua lokasi berbeza.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Dr Noordin Ahmad berkata, lintasan pertama akan berlaku antara jam 2.14 pagi selama 30 saat pada ketinggian 166.712 kilometer (km) dan akan menjunam sehingga 166.611km.

“Lintasan pertama itu akan bermula di sekitar Melaka menuju ke Pahang selama 30 saat pada pagi esok (hari ini). Berdasarkan pengiraan yang dilakukan lintasan akan berlaku pada ketinggian 166.712km dan 166.611km.

“Menerusi lintasan kedua pula berlaku pada hari sama sekitar jam 1.11 petang selama 27 saat pada ketinggian 171.082km dan berakhir pada ketinggian 171.214km,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar, semalam.

Pada November tahun lalu, ANGKASA sudah meramalkan bahawa kebarangkalian serpihan Stesen Angkasa China itu untuk jatuh di negara ini adalah sangat tipis berdasarkan kadar 0.09 peratus.

Berdasarkan pengiraan dilakukan ANGKASA, serpihan itu akan jatuh antara 43 darjah utara hingga ke 43 darjah selatan dan ia membabitkan kawasan seluas lebih 347,860,000 kilometer (km) persegi.

Pengiraan itu juga membuktikan kemungkinan Kuala Lumpur menjadi lokasi jatuhnya serpihan itu juga sangat rendah iaitu pada kadar 0.0000699 peratus.

Menerusi nota China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan komponen dan struktur Tiangong-1 akan musnah terbakar ketika pergeseran dengan atmosfera.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com