Sanggup Curi Harumanis Demi Duit Beli Air Ketum


LELAKI ditahan kerana mencuri empat mangga Harumanis di ladang di Kampung Panggas Besar Chuping, Kangar, semalam.

Difahamkan lelaki itu bertindak mencuri Harumanis untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli bekalan air ketum.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Superitendan Muhamad Halim Yatim berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dicekup sendiri oleh pemilik ladang, pada 7.45 malam.

"Ketika pemilik ladang berkenaan sampai ke ladangnya, beliau terlihat motosikal yang diparkir berdekatan kawasan itu dan terlihat suspek sedang memetik buah Harumanis miliknya.

"Pemilik ladang terus menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis," katanya.

Menurut Muhamad Yatim, hasil siasatan awal mendapati suspek mensasarkan ladang Harumanis berkenaan kerana kawasannya yang terpencil dan sunyi.

"Suspek mengaku datang seorang diri ke kebun berkenaan dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125z milik abangnya.

"Dia mengaku mencuri Harumanis berkenaan kerana ingin dijual bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan air ketum.

"Nyata tindakannya itu membawa padah apabila dia ditangkap sewaktu baru sempat memetik empat biji Harumanis yang dianggarkan seberat hampir dua kilogram sebelum ditangkap pemilik ladang berkenaan.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri," katanya.

Harumanis adalah jenis mangga eksotik yang hanya subur di Perlis dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi, mencecah RM30 setiap kilogram bergantung kepada gred.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com