Sandro Mahu Buru 3 Mata Jumpa Terengganu


ALOR SETAR - Pemain import Kedah, Sandro Da Silva tekad mahu memburu tiga mata apabila bertandang ke Terengganu untuk aksi perlawanan Liga Super, menentang Terengganu FC Jumaat ini.

Sandro yang ditugaskan sebagai penyerang kini mahu memastikan jentera serangan Kedah berada pada tahap terbaik untuk perlawanan seterusnya.

Malah dua jaringan berbisa yang dihasilkan pemain import berpengalaman kelahiran Brazil sewaktu Kedah berhadapan Selangor sebelum ini terus membakar semangat Sandro untuk membantu pasukannya dalam misi memburu tiga mata di Kuala Terengganu nanti.

"Saya mahu terus bekerja keras bersama rakan sepasukan, dua gol ketika menentang Selangor sebelum ini benar-benar membakar semangat saya untuk terus membantu Kedah memburu kemenangan.

"Dengan komitmen dan persefahaman yang baik dalam pasukan, saya bersyukur dapat menghasilkan jaringan gol bagi membantu pasukan, namun apa yang lebih penting adalah kemenangan pasukan yang perlu diteruskan dalam setiap perlawanan untuk memburu tiga mata," katanya memetik BH Online.

Sandro yang memasuki tahun keempat bersama Kedah berkata sudah tiba masanya Kedah kembali bangkit dengan prestasi terbaik untuk kembali berada dalam kelompok teratas Liga Super seperti yang dilakukan musim lalu.

"Kehilangan mata penting dalam beberapa perlawanan sebelum ini menyebabkan Kedah tidak berada dalam kelompok teratas liga, dan kemenangan seterusnya perlu dicari untuk kembali mengukuhkan kedudukan.

"Saya sedar Terengganu memiliki pilihan pemain yang berwibawa, beraksi di laman sendiri akan menjadikan mereka lebih kuat dan itulah cabaran yang perlu kita hadapi nanti," ujarnya.

Musim lalu, Sandro meledak lapan gol dalam aksi Liga Super dan bagi musim ini, dia membantu Kedah menghasilkan dua gol sewaktu bertemu Selangor seerta satu gol ketika bertemu Perak. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com