Saiz Limpa Besar, Penyebab Masyarakat Bajau Mampu Menyelam Lama - Saintis Barat


SEKUMPULAN saintis Barat yang membuat kajian tentang kebolehan masyarakat Bajau menyelam lama di dalam air, membuat rumusan ia ada kaitan dengan kebolehan mengadaptasi secara genetik.

Melissa Ilardo bersama kumpulan pengkaji dari Universiti Copenhagen, Denmark dan Universiti California, Amerika Syarikat mendedahkan, masyarakat Bajau mampu membuat penyesuaian genetik yang membolehkan mereka bertahan lama tanpa oksigen.

Menggunakan mesin ultrabunyi, Ilardo mendapati masyarakat Bajau mempunyai saiz limpa yang kira-kira 50 peratus lebih besar daripada masyarakat lain yang menduduki pulau Sulawesi, Indonesia.

Penyelidikan mengenai anjing laut sebelum ini membuktikan bahawa saiz limpa yang lebih besar mempunyai kaitan dengan masa menyelam yang lebih lama.

Saiz limpa yang besar itu adalah disebabkan varian gen yang dipanggil PDE10A, yang dikaitkan dengan paras hormon tiroid yang lebih tinggi daripada purata di Eropah.

Seorang profesor Biologi di Universiti Stanford, Marc Feldman, pula berpendapat, untuk mengesahkan perkara itu, satu kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan.

"Hubungan antara gen PDE10A, saiz limpa dan keupayaan menyelam tidak dapat dibuktikan dalam kajian ini terhadap 43 Bajau sahaja; ia memerlukan pembabitan peserta pada skala yang lebih besar," katanya seperti yang dilaporkan portal CNN.

Komuniti Bajau yang mempunyai pertalian rapat dengan laut secara umumnya merupakan kaum nomad yang boleh ditemui di gugusan kepulauan Sulu di Filipina, kawasan pesisiran pantai di Mindanao, utara dan timur Sabah, Malaysia; Sulawesi dan di beberapa kawasan kepulauan timur Indonesia.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com