Saingan Liga Super Makin Menarik, Kedah Bangun Beri Tentangan


KUALA LUMPUR - Aksi tidak konsisten semua pasukan termasuk juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala FA musim lalu, Kedah seakan memberi bayangan saingan sengit Liga Malaysia akan berpanjangan hingga ke hujung musim.

Tidak cukup dengan pelbagai kejutan dalam saingan Piala FA, persaingan dalam kelompok lima teratas Liga Super juga tampak rancak walaupun JDT kini mendahului dengan empat mata.

Turut menarik perhatian, persaingan pasukan di tangga kedua dan ketiga, Pahang dan Terengganu yang berkongsi 11 mata selain hanya dibezakan satu mata daripada Perak dan PKNS FC yang menghuni kedudukan keempat dan kelima.

Biarpun JDT berada di persada liga, ia masih belum menjamin kedudukan mereka untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut berikutan prestasi tidak menentu skuad kendalian Raul Longhi itu.

Malah, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mengakui skuad Harimau Selatan itu berada pada prestasi buruk mereka selepas apa yang dilalui pada musim 2013.

"Berdasarkan statistik terkini, tahun ini dan 2013 adalah tahun yang paling teruk. Saya tidak kisah, walaupun JDT tewas 10-0 atau 20-0 sekalipun, saya akan sentiasa bersama JDT," kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, baru-baru ini.

Selain itu, bekas pengendali pasukan kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini lebih menarik berbanding musim lalu selain menjangkakan saingan sengit akan disajikan sehingga hujung musim.

Dia juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku kejutan pada pusingan separuh akhir Piala FA nanti yang akan menemukan Pahang dan PKNP FC serta pertemuan adik abang, PKNS menentang Selangor.

"Musim ini memang menarik, walaupun perjalanan liga masih belum sampai ke separuh jalan, kita sudah dapat melihat kebangkitan luar biasa pasukan yang sebelum ini dianggap kerdil seperti PKNP dan PKNS.

"Bagi PKNS, mungkin ini habuan buat mereka selepas melakukan perbelanjaan besar sementara PKNP pula mendapat hasil yang baik atas kepercayaan yang diberikan kepada pemain muda.

"Bagi saya, peluang buat dua pasukan kelab itu untuk melepasi pusingan separuh akhir memang ada berdasarkan persembahan cemerlang mereka di suku akhir dan tidak mustahil akan ada lagi kejutan lagi selepas ini," katanya.    

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com