Sahabat Baik Tun M Tinggalkan Kedah, Sah Bertanding Di Selangor


ALOR SETAR - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di salah satu kerusi parlimen yang terdapat di negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang bakal berlangsung pada 9 Mei ini.

Pengesahan itu juga sekali gus menjelaskan secara tidak langsung bahawa Mohamad atau lebih popular dengan nama Mat Sabu tidak akan bertanding di Parlimen Kuala Kedah atau mana-mana kerusi parlimen di negeri ini.

Walau bagaimanapun, Mat Sabu masih berteka-teki dan tidak mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal menjadi pilihannya di Selangor.

"Kerusi yang mana akan ditandingi belum lagi pasti.

"Walau bagaimana pun salah satu kerusi di Selangor sudah pasti akan ditandingi menjelang pilihan raya ini.

"Yang pasti ia akan diketahui dalam tempoh terdekat selepas satu atau dua hari lagi,", katanya, memetik laporan sebuah portal pembangkang.

Beliau difahamkan berkata demikian ketika ditemui portal itu selepas majlis sumbangan Sekolah Agama Rakyat, KAFA, Maahad Tahfiz, Pondok dan Tadis di Taman Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh, baru-baru ini.

Desas-desus sebelum ini mengatakan kemungkinan Mat Sabu akan bertanding di salah satu kerusi parlimen di Kedah atau Pulau Pinang.

Presiden PAN itu pada PRU ke-13 yang lalu bertanding di kerusi parlimen Kuala Kedah di atas tiket parti lamanya, PAS, namun tewas kepada calon Barisan Nasional, Dato' Othman Abdul, dengan majoriti 2,638 undi, dalam pertembungan satu lawan satu.

Mat Sabu digembar-gemburkan akan dilantik sebagai menteri kanan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekiranya gabungan pakatan pembangkang itu berjaya berkuasa sebagai kerajaan pada PRU ke-14 nanti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com