Sah Wan Azizah ‘Lari’ Ke Pandan, Diganti Anaknya


RASMI… Akhirnya kepimpinan PKR mengeluarkan senarai calon rasmi parti itu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hari ini yang menyaksikan beberapa penyandang ‘lompat’ kerusi tertentu!

Senarai yang dikeluarkan itu mengesahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Pandan sementara anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar akan berpindah ke Permatang Pauh pula.

Puteri gerakan Reformasi itu yang juga ahli parlimen selama dua penggal di Lembah Pantai, akan menggantikan ibunya sendiri di Permatang Pauh, sebuah kerusi tradisi yang lazim ditandingi oleh ahli keluarganya sejak 1982.

Tempat beliau di Lembah Pantai akan digantikan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil untuk lawan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang pernah teruk dijadikan bahan fitnah oleh Nurul Izzah sebelum ini.

Untuk rekod, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dipetik Astro Awani dilaporkan berkata, calon Permatang Pauh diberikan keutamaan untuk diisi oleh ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Kerusi Pandan sebelum ini diwakili Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding lagi setelah terpalit dengan pelbagai kes skandal fitnah jahat di beberapa mahkamah.

Wan Azizah yang juga isteri kepada Anwar selaku Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan; bakal menentang calon BN, Datuk Leong Kok Wee. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab pertukaran kerusi pada PRU kali ini.

Nurul Izzah pula bakal berdepan dengan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said. Ia dijangka sengit kerana turut ditandingi calon PAS yang pernah dimenangi sebelum Anwar muncul pada 1982.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Rashid Hasnon bertanding di Parlimen Batu Pahat, Johor, manakala bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar di Parlimen Bandar Tun Razak di ibu kota.

Sementara Saifuddin di Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Kedah dan bekas Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin di Parlimen Hang Tuah Jaya (dahulu Bukit Katil) di Melaka yang dimenanginya pada PRU ke-13.

Wan Azizah ketika berucap pada Program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor, malam tadi turut mengumumkan senarai rasmi calon PKR untuk kerusi Parlimen dan DUN di negeri berkenaan.

Antaranya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal bertanding di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa. PKR hanya akan bertanding 10 kerusi Parlimen dan 21 DUN di Selangor pada PRU kali ini.

Majlis pengumuman calon PKR yang agak hambar ini turut dihadiri oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com