RUU Antiberita Tidak Benar: Pakatan Harapan 'Masuk Perangkap' PAS?


Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat 'terperangkap' apabila PAS menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan oleh parlimen baru-baru ini.

Pada awalnya gabungan pembangkang menjangka PAS akan menentang rang undang-undang itu, namun ianya meleset apabila parti Islam itu turut mendokongnya. 

DAP menerusi kenyataan Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng menyatakan  terkejut, dan tanpa berfikir panjang menuduh PAS  bersekongkol dengan UMNO/Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ini.

Namun kenyataan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibidas oleh pemimpin PAS yang menyifatkan Pakatan Harapan bermain politik seperti kebudak-budakan dan  mengamalkan budaya politik tidak matang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan berkata Guan Eng seperti takut dengan bayang-ba­yang sendiri sehingga sanggup membuat tuduhan melulu terhadap PAS yang menyokong Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat dua hari lalu.

Takiyuddin menejelaskan bahawa PAS sudah membuat kajian secara mendalam sebelum menyokong undi belah bahagian ketika rang undang-undang tersebut dibentangkan.

Menurutnya  undang-undang itu wajar dibuat oleh sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan ke­rana telah menjadi keperluan un­tuk mengawal berita-berita yang tidak benar.

“PAS juga diajar bahawa pendirian kita tidak boleh membuat fitnah terhadap orang lain. PAS turut menjadi mangsa  berita-berita yang tidak berasas terma­suk DAP sendiri yang banyak melemparkan fitnah kepada kita.

“Malah, DAP juga menuduh kononnya kita bukan lagi parti pembangkang (Parlimen) itu juga adalah berita palsu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, undang-undang itu bertujuan menjaga kepentingan orang ramai termasuk Guan Eng sendiri.

Dalam pada itu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri menyifatkan Pakatan Harapan tidak matang dan bertindak seperti kebudak-budakan apabila PAS menyokong rang undang-undang berkenaan. 

 Pas menyokong akta baharu digubal itu disebabkan ia selaras dengan Islam, katanya.
Namun pakatan bermain  politik kebudak-budakkan dan memanipulasi fakta bertujuan mencipta persepsi jahat dan kebencian. 

Ini  sangat malang apabila Malaysia memiliki ahli politik yang berfikiran sebegini, katanya dalam status yang dimuat naik di akuan Facebook beliau semalam.

“PAS menyokong RUU ini kerana Islam haramkan penyebaran berita palsu yang hari ini menjadi makanan ahli politik terutamanya daripada PH,” katanya lagi. 

Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS mengambil pendekatan melalui pertimbangan aspek moral semasa menyokong RUU Akta Antiberita Tidak Benar.

Langkah seumpama itu pernah dilakukan parti berkenaan di parlimen suatu ketika dulu, katanya yang dipetik dari Malaysiakini 

Menurut Hadi semasa kerajaan mencadangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) PAS sendiri menyokong RUU berkenaan semasa ia dibentangkan pada 1957 ekoran keadaan negara dalam darurat dan berdepan ancaman komunis serta pelampau.

Menurut anggota parlimen Marang berkenaan, ISA disalahgunakan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, termasuk menjadikan ahli PAS sebagai mangsanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com