Rusia Cipta Robot Untuk Temu Duga Pekerja


MOSCOW - Sebuah syarikat di Rusia telah mencipta robot canggih yang digunakan untuk menemu duga calon pekerja di beberapa syarikat antarabangsa terkemuka.

Portal Mail Online melaporkan, robot diberi nama Vera itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyenarai pendek calon yang berpotensi berdasarkan keperluan pekerjaan syarikat terbabit.

Robot Vera dibangunkan oleh syarikat Strafory berpangkalan di St Petersburg yang kini mempunyai lebih 300 pelanggan, termasuk Pepsi, Ikea dan L’Oreal.

Menurut majalah Bloomberg, syarikat berkenaan kebanyakannya menggunakan Vera untuk merekrut pekerja kolar biru seperti kerani, pelayan dan buruh binaan.

Vera memilih resume yang sesuai dari lima portal jawatan kosong dan kemudian menghubungi calon untuk menemu duga dan memberitahu mereka tentang pekerjaan yang dipohon melalui telefon atau perbualan video.

Robot itu mampu menyenarai pendek sehingga 10 peratus calon yang layak dan boleh mengurangkan kos pengambilan pekerja oleh pihak ketiga dengan keupayaan mewawancara beratus-ratus pemohon pada masa yang sama.

“Banyak syarikat sering mem­bazirkan masa memanggil calon yang tidak lagi berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan atau sudah tidak dapat dihubungi.

“Oleh itu kami membangunkan robot ini untuk membantu syarikat menjalankan tugas itu secara automatik,” kata pe­ngasas bersama Strafory, Ale­xander Uraksin kepada Bloom­berg.

Vera dilengkapi dengan keupayaan pengecaman ucapan lan­jutan menggunakan kombinasi teknologi pengecaman pertuturan dari Google, Amazon, Microsoft dan Yandex.

Pengatur cara melatih Vera menggunakan 13 bilion contoh bahasa dan ucapan daripada televisyen, Wikipedia dan penyenaraian kerja bagi membolehkannya berbual dan memahami pelbagai frasa dengan mudah.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com