Rumah Senget, Terbalik Hanya Di Changlun


ALOR SETAR - Jika ingin merasai kelainan tinggal di rumah unik dipanggil rumah senget, rumah terbalik dan rumah hobit, datanglah ke Kampung Changkat Setoi, Changlun, Kedah.

Kawasan rumah aneh yang dinamakan 'MnM Home Whimsical Houses' telah menjadi tarikan pengunjung pada awal 2016 dengan  kos pembangunan keseluruhan kawasan tersebut mencecah hampir RM1 juta.

Perjalanan dari bandar Alor Setar ke Kampung Changkat Setol, Changlun, hanya ambil masa sekitar 45 minit sahaja.

Pemiliknya, Profesor Dr Mahamad Tayib, 60, berkata beliau membina tiga rumah itu sejak hujung 2015 bagi memberi kepuasan untuknya mengekspresi imaginasinya dalam seni reka.

“Idea tercetus selepas melawat beberapa rumah terbalik di dalam dan luar negara.

“Memandangkan di Changlun ini belum banyak daya tarikan pelancongan, saya rasa tidak salah membinanya,” kata bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.

Jelas beliau, rumah-rumah tersebut dibangunkan di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar, dan daya tarikan lain yang terdapat di perkampungan ini ialah dusun limau bali, mata kucing, rambutan dan durian serta ladang rusa, arnab dan kawasan ternakan madu kelulut.

Bukan itu sahaja, MnM Home Whimsical Houses juga mempunyai dua inap desa.

Tambah Mahamad, pi­haknya dari semasa ke semasa menambah tarikan di MnM Home Whimsical Houses bagi memberi kepuasan kepada pengunjung­nya, di samping mahu memberi menghidupkan suasana santai sambil menikmati pemandangan kampung yang mendamaikan.

Terbaharu, terdapat rumah Red Indian yang siap dibina Disember lalu, selain dua rumah permainan unik untuk tetamu cilik, rumah pokok dan rumah kelulut.








Sejak tular di media sosial, MnM Home Whimsical Houses menerima kunjungan lebih 200 orang sehari dan dijangka bertambah pada musim cuti sekolah.

“Saya mahu pengunjung dapat meneroka kawasan ini dalam keadaan santai, sebab itu kemasukan pengunjung berdasarkan tempahan pada hari biasa dan terbuka pada hari minggu.

“Saya tidak mahu terlalu padat dengan pengunjung kerana akan menghilangkan keseronokan menikmati apa yang ada di sini.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, saya terima saja kunjungan tanpa tempahan kerana tidak sampai hati menolak kedatangan mereka terutama yang datang dari jauh,” jelasnya yang turut menerima pengunjung dari Johor dan Sabah.

Mahamad berkata, pihaknya mene­rima kedatangan tetamu berdasarkan tempahan pada Isnin hingga Rabu tanpa had masa dan ditutup pada hari Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad pengunjung boleh datang secara walk in dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Bagi mereka yang berminat untuk berkunjung ke MnM Home Whimsical Houses boleh menghubungi talian 019-4488197 atau 019–4111195, selain berkunjung ke laman Facebook: MnM Home Whimsical Houses mahupun Instagram: mnmhome_goods. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com