Rumah PPR Bakal Dibina Di Bukit Selambau


ALOR SETAR - Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN berkenaan serta terus diberikan mandat mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini kerana beliau sedih dengan keadaan di kawasan tersebut yang dilihatnya jauh ketinggalan, setelah dua penggal berada di bawah wakil rakyat pembangkang.

"Hari ini, saya dalam lawatan ke DUN Bukit Selambau, saya lihat keadaan situ amat menyedihkan. BN bersikap adil kerana walaupun kita kalah, kita tetap nak bagi pelbagai bantuan tetapi yang rugi orang Bukit Selambau kerana tiada wakil mereka.

"Di Ladang Rusa Division, kawasan itu amat menyedihkan, jika BN menang, saya berjanji akan berusaha membangunkan rumah PPR di kawasan itu...terlalu daif, dua penggal di bawah pembangkang tetapi wakil rakyat mereka tidak peduli," katanya memetik Bernama.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri jamuan rakyat dan menyerahkan geran tanah peserta Felcra Berhad Bukit Selambau 1 dan 2 di pekarangan Pejabat Felcra Kawasan Bukit Selambau dekat sini semalam.

Pada masa sama, Ahmad Bashah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM150,000 untuk menaik taraf prasarana di kawasan terbabit.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan berkenan mencemar duli untuk menyerahkan sendiri kunci rumah bagi projek perumahan Taman Muafakat Dulang dekat Yan, kepada penerima layak nanti.

"Hampir kesemua 100 unit rumah itu sudah ada pemiliknya iaitu mereka terjejas akibat hakisan pantai selepas tragedi tsunami. Kita harap mereka terlibat bersabar, sementara kita dapat cari tarikh bersesuaian dengan kelapangan Tuanku Sultan Kedah. InsyaAllah  dalam masa terdekat kita akan dapatkan tarikh itu," ujarnya.

Perumahan itu mula dibina pada awal 2016 selepas tertangguh kira-kira lima tahun berikutan pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan negeri, dan siap pada pertengahan tahun lepas. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com