Rocky Din Bangga, Lagu ‘Marilah Mengundi’ Masih Didendang


GEORGE TOWN – Setiap kali tibanya musim pilihan raya umum (PRU), akan berkumandang lagu-lagu berunsur patriotik yang mengajak masyarakat Malaysia menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi.

Lagu ‘Marilah Mengundi’ dendangan Mohd Hashim Shariff, lebih dikenali sebagai Rocky Din, yang popular sejak tahun 1978, masih lagi berkumandang sehingga ke hari ini apabila tibanya waktu PRU.

Rocky Din, 70 tahun, mengakui terselit rasa bangga apabila berpeluang menyanyikan lagu tersebut yang mengingatkan masyarakat untuk melaksanakan kewajipan mereka memilih pemimpin yang bakal menerajui masa depan negara.

“Lagu Marilah Mengundi ini ciptaan Johari Salleh. Rakaman dibuat di Holland. Yang memainkan muzik itu asalnya, ialah ‘orang putih’. Dia bawa balik trek lagu itu ke sini (Malaysia).

“Rakaman lagu ini dibuat pada Oktober 1977, sebelum nak mengundi lagi. Undi akan dibuat pada 1978, tetapi lagu ini dah siap dah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.

Katanya yang lebih mesra disapa ‘mamu’ itu, selain dinyanyikan beliau, lagu ciptaan Johari Salleh itu pernah dipopularkan seorang lagi penyanyi, iaitu Zainal Alam pada tahun 1956.

Beliau yang berasal dari Teluk Ayer Tawar, Butterworth, memberitahu, diberi peluang menyanyikan lagu tersebut selepas berjaya menarik perhatian seorang pencungkil bakat semasa menyertai pertandingan Bintang RTM 1977.

Rocky yang pernah menerima anugerah Tokoh Seni oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) sempena Maal Hijrah tahun 2017 berkata, lagu tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri ketika dia menyanyikannya.

“Istimewanya masa menyanyikan korus. ‘Jangan lupa kad pengenalan, serta nombor daftar undi, masa tidak kerugian, membuang undi’. Bahagian itu yang sedap. Susah untuk nyanyikan korusnya,” dia menjelaskan.

Katanya, bayaran yang diterimanya sebagai penyanyi lagu Marilah Mengundi ketika itu adalah RM25, dan dia masih menyimpan baucer bayaran tersebut sehingga hari ini untuk dijadikan kenangan.

Bapa kepada lima orang anak itu kini menjadi penyanyi sepenuh masa di Restoran Pen Mutiara, di Batu Maung.

Pada 2013, lagu Marilah Mengundi diolah menjadi lebih moden untuk menarik perhatian generasi muda. 

Sumber – Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com