RM290,400 Insentif Kepada 42 PDK Diluluskan Kerajaan Kedah


ALOR SETAR - Sebanyak 42 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 332 petugas dan 1,698 pelatih pusat berkenaan bakal menerima insentif sekali bayar sebanyak RM290,400 setelah ia diluluskan Kerajaan negeri Kedah, semalam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata,  insentif sebanyak RM500 akan diberikan kepada setiap PDK, manakala setiap petugas pula diberikan RM300 dan pelatih memperoleh RM100 seorang.

Tambah beliau lagi,  pembayaran insentif itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Mesyuarat (Exco Kedah) bersetuju bantuan insentif itu diberikan kerana  merasakan ada keperluan untuk membantu pusat ini termasuk petugas dan pelatih. 

"Jadi dalam mesyuarat tadi (semalam) kita bersetuju lulus RM290,400 bagi bantuan ini kepada PDK di negeri ini," katanya  pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Darulaman di sini.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata pemberian insentif itu juga antara lain untuk menghargai usaha petugas PDK di negeri ini yang berterusan membantu anak-anak golongan kurang upaya (OKU) yang menjadi pelatih di pusat berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com