Risda Cuba Yakinkan Kerajaan Tanam Ketum Perubatan


ALOR SETAR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan meneruskan lagi usaha untuk meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pekebun-pekebun kecil di negara ini menjalankan usaha penanaman ketum.

Menurut Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini, berkata penanaman ketum boleh meningkatkan lagi pendapatan pekebun-pekebun kecil ekoran nilai perubatannya yang tinggi yang diiktiraf pakar-pakar luar dari India dan Amerika Syarikat.

“Kita sudah mengemukakan permohonan kepada Pusat Racun Negara. Mereka akan proses (permohonan ini) dan Insya-Allah mereka akan dapat meluluskannya,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas program penyampaian sumbangan kepada pekebun-pekebun kecil dan pemandu teksi Langkawi pada Khamis.

Melalui permohonan tersebut, beliau berkata pekebun-pekebun kecil yang terlibat perlu dilesenkan sebelum boleh menjalankan penanaman ketum ini dan pengawalan akan diterajui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membendung sebarang penyalahgunaan hasil tanaman itu.

“Agenda kita (Risda) adalah untuk menuai daun dan dijual untuk penyelidikan perubatan, bukannya untuk dijadikan air ketum atau penyalahgunaan lain. Jangan salah faham,” katanya. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com