RELA Bantu Polis Trafik Pada 9 Mei


BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan diperluaskan untuk membantu polis mengawal lalu lintas sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia termasuk memastikan tiada mana-mana individu layak mengundi dihalang daripada melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari berkenaan

"(Perlu ditegaskan) lalu lintas akan terus dijaga polis trafik dan anggota RELA hanya berperanan membantu dan bukannya mengambil tugas atau kuasa polis," katanya ketika merasmikan sambutan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-46 peringkat negeri Perak di sini, semalam.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata cadangan itu sebenarnya dibuat oleh Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, yang diterima dengan rasmi serta dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Berikutan itu, katanya, pegawai dan anggota RELA disaran mengundi awal pada hari pengundian bersama pengundi yang lain supaya mereka kemudian dapat membantu polis trafik menjalankan tugasan berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com