Rancang Kewangan Elak Kegagalan Bayar Hutang


KOTA BHARU – Perancangan kewangan yang betul perlu menjadi keutamaan seluruh rakyat negara ini bagi mengelak terjerumus dalam kemelut kegagalan menjelaskan hutang sekaligus menjamin masa depan yang lebih sejahtera.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata ini kerana mengikut statistik agensi itu 42.6 peratus peminjam mengakui sukar menjelaskan hutang kerana kurang pengetahuan dalam mengurus kewangan.

“Ia diikuti kos sara yang tinggi 23 peratus, kegagalan perniagaan 14.3 peratus, kos perubatan 8.5 peratus, kehilangan kerja 9.4 peratus dan lain-lain faktor 2.2 peratus,” katanya kepada pemberita pada Program Celik Pitih 2018 di sini,kelmarin.

Azaddin berkata merancang kewangan dan amalan menyimpan perlu diteladani secara serius oleh semua pihak termasuk penjawat awam dengan menjalani hidup mengikut kemampuan.

Beliau berkata laporan Bank Negara Malaysia mendedahkan 76 peratus daripada rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi masa sukar manakala Asian Institute of Finance (AIF) mendedahkan 47 peratus golongan muda menggunakan kad kredit semata-mata untuk membeli barangan mewah.

Maka katanya tidak hairan Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 22,581 kes muflis berlaku sehingga September 2016 melibatkan rakyat Malaysia berusia 25 hingga 34 tahun.

Berikutan situasi itu katanya AKPK akan terus memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai program agar pengurusan kewangan berhemat dapat dijadikan budaya hidup di negara ini.

Katanya lebih 700,000 rakyat Malaysia telah mendapatkan khidmat kaunseling kewangan AKPK sejak ia ditubuhkan pada 2006 dan 200,000 daripadanya telah mengikuti program pengurusan kredit manakala 15,881 kes hutang berjaya ditamatkan dengan nilai tunggakan sebanyak RM633.3 juta.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com