Ramai Lagi Tak Tercalon, Tapi Tetap Wala'


SENARAI calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor boleh dikatakan tidak mungkin lagi akan ada perubahan selepas pengumuman pada Isnin lalu.

Daripada senarai yang dibacakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Johor menampilkan seramai 37 calon baharu atau 45.1 peratus daripada 82 kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ini bermakna, BN negeri ini menonjolkan lima calon baharu di peringkat Parlimen daripada keseluruhan 26 kerusi, manakala selebihnya dipertaruhkan di kerusi DUN.

Apabila ada muka baharu, sudah tentu ada penyandang yang tidak disenaraikan. Maka, bermulalah episod merajuk, rasa terpinggir, tidak puas hati dan bermacam-macam lagi kerana sepanjang lima tahun kononnya mereka lakukan pelbagai usaha kepada masyarakat setempat.

Pemilihan calon bukan semudah ABC. Waima nak cari presiden kelab kereta pun pelbagai pertimbangan diambil kira, itu belum kira usaha lobi-melobi dan gerakan meraih sokongan daripada ahli kelab.

Sepatutnya, ‘bakal-bakal’ calon perlu berlapang dada, bak kata seorang veteran UMNO yang pernah menjadi wakil rakyat dari 1986 hingga 2013, calon yang dipilih bukan setakat layak dan memenuhi kriteria tetapi lebih penting mereka kena menang di kawasan yang ditandingi.

Hakikatnya, ramai lagi calon lain tidak dipilih kali ini walaupun mereka menang pada pilihan raya lalu, tetapi mereka tetap walak atau setia kepada parti dan ada antara mereka sudah mula membantu calon baharu bergerak ke sana ke mari dalam meraih sokongan.

Memanglah orang lain tidak merasai apa mereka sedang lalui ketika ini, tetapi pucuk pimpinan juga ada pendapat, percaturan dan strategi tertentu untuk memenangkan parti agar mandat pemerintahan dapat diteruskan.

Mengapa tidak mereka terus berada dalam saf kerana tidak mustahil suatu hari nanti boleh kembali bergelar ‘Yang Berhormat’ untuk berkhidmat sepenuh hati kepada pengundi yang telah memenangkan mereka.

Jika soal peribadi terus diambil kira dan mempertikai keputusan yang telah dibuat, itu jelas menampakkan lagi siapa diri sebenarnya dan apa arah tujunya.

Apa salahnya berilah bantuan, pengalaman dan ilmu kepada calon baharu, setidak-tidaknya masih dihargai masyarakat setempat dan dikenang ‘jasa’ sampai bila-bila.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com