Rakyat Kedah Rugi Besar Jika Percaya Janji Manis Pembangkang!


ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada rakyat terutama sekali di Kedah agar tidak mudah terpedaya dan termakan dengan janji manis politik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) gabungan pembangkang PKR.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pertembungan ideologi sedang berlaku dalam gabungan pembangkang PKR lantas hanya membawa kerugian dan penderitaan kepada rakyat.

Perbezaan ideologi itu sahaja telah membuktikan mereka tidak sependapat untuk mengurus dan mentadbir negara jika berjaya memenangi PRU-14.

“17 hari selepas manifesto pembangkang (gabungan pembangkang PKR) dibentangkan, diuar-uarkan pemimpin utama mereka dalam satu temu bual dengan akhbar di Singapura sebut, bahawa dia tidak yakin apa yang disebut itu akan dilaksanakan.

“Malah dia syak dalam kumpulan mereka itu, dia kata, ada orang sosialis dalam kumpulan. Dia anggap mereka ini sosialis. Bererti bahawa sudah ada pertembungan ideologi, bila ada pertembungan ideologi akan ada pertembungan dasar, bila berlaku ini bermakna mereka tidak sehaluan.

“Tak seia sekata dalam nak mengurus atau mentadbir negara. Kepincangan seperti itu dalam pembangkang bukanlah satu perkara yang kecil, pertembungan ideologi yang membawa kepada pencanggahan dasar adalah satu yang amat serius kerana akan mengakibatkan rakyat dalam kerugian, penderitaan sebab manifesto mereka tinggal janji dalam kertas sahaja,” katanya memetik Utusan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sepagi Bersama Perdana Menteri sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Tapak Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Padang Tembak, Bukit Pinang di Alor Setar, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Dalam perkembangan lain, Najib menjelaskan projek PPAIM yang mendapat subsidi kerajaan kira-kira RM38,000 itu bakal dibina 355 unit rumah teres dua tingkat dan sebuah apartmen 10 tingkat yang mempunyai 504 unit.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com