Rakyat Gembira Puteri UMNO Padang Terap Anjur Majlis Berendoi Perdana


ALOR SETAR - Seramai 100 pasangan suami isteri diceriakan dalam Majlis Berendoi Perdana yang diadakan di Parlimen Padang Terap di Dewan Tunku Putra, di Kuala Nerang, semalam atas anjuran Pergerakan Puteri Umno Padang Terap.

Majlis julung kali diadakan itu dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Ahmad Kamil Munin dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan.

Ketuanya, Zurina Zakaria berkata, majlis itu mendapat sambutan menggalakkan dari pasangan suami isteri yang baru mendapat anak di seluruh Padang Terap.

Jelasnya lagi, penduduk Padang Terap memuji program itu kerana ia dilihat sebagai satu usaha menghidupkan kembali majlis berendoi yang semakin dipinggir masyarakat hari ini.

“Melalui program ini pasangan suami isteri dapat melakukan berendoi kepada anak mereka secara beramai-ramai dan dapat mengurangkan kos. Melalui program itu, kami turut menjemput kumpulan Sautul Hikmah dari Kampung Nako Nambua bagi memeriahkan lagi majlis itu.

“Program ini diharap dapat menceriakan lagi pasangan suami isteri serta mendidik zuriat mereka dengan nilai-nilai Islam yang perlu diterap,” katanya memetik Sinar.

Menurutnya, walaupun program itu dianjurkan Puteri Umno tetapi ia terbuka kepada semua peserta tidak kira berbeza dalam fahaman politik.

Bagi seorang peserta Muhammad Haikal Othman,28, dia sangat berterima kasih kepada Puteri Umno kerana membuka peluang kepada insan yang kurang bernasib baik untuk mengadakan majlis seperti itu dan memberi kesempatan untuk mereka merasa kemeriahan majlis itu.

Katanya, melalui program itu sudah pasti pada masa akan datang pasangan yang baru berkahwin akan menyertai program ini.

“Oleh itu saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan supaya menjadi acara tahunan di daerah ini. Saya yakin program ini pasti akan mendapat sambutan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com