Raja Salman Bantu Pendidikan Percuma Anak Rohingya Di Malaysia


KUALA LUMPUR - Yayasan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman dengan kerjasama Sekolah Saudi Kuala Lumpur, tampil membantu memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak warga Rohingya di negara ini.

Program khidmat bakti kemanusiaan yang bermula sejak Januari tahun lalu itu mensasarkan lebih 1,600 kanak-kanak warga Rohingya, yang tinggal di sekitar Selayang dan Ampang.

Pengarah Pendidikan Sekolah Saudi Kuala Lumpur, Dr Sultan Fahd Aljuhaish, berkata semua kanak-kanak berusia seawal lima hingga 16 tahun.

"Kesemua kanak-kanak dan remaja ini dipilih berdasarkan dari keluarga dan latar belakang mereka yang kurang berkemampuan dan tinggal di sekitar Lembah Klang khususnya di Selayang dan Ampang.

"Sebaik menyertai program pendidikan di sini, mereka akan diajar Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, kelas komputer dan membaca Al-Quran," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Yayasan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman untuk pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di Malaysia, di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengetua Sekolah Saudi Kuala Lumpur, Yousuf Abdullah Al-Imran, bersama Pegawai Khas, Yayasan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman, Yasser Alshehri.

Katanya, selain memberikan pendidikan percuma, setiap pelajar terbabit juga akan diberikan sarapan pagi dan makan tengah hari secara percuma setiap hari sepanjang mereka bersekolah di Sekolah Saudi Kuala Lumpur.

"Pihak kami juga turut menyediakan pakaian seragam sekolah, beg, alat tulis serta membiayai sebarang kos perubatan sekiranya mereka demam atau mengalami sebarang penyakit.

"Sejak kami menawarkan program pendidikan percuma ini, pernah dua pelajar kami diserang demam denggi selain seorang pelajar cedera parah terpijak kaca dalam kawasan sekolah dan kami segera mengejarkannya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Sultan berkata, pada masa ini, selain menyediakan kelas di Sekolah Saudi di Jalan Ampang, Ulu Kelang, pihaknya juga membuka lima cawangan membabitkan dua di sekitar kawasan Selayang dan tiga lagi di sekitar Ampang Jaya.

"Secara kebiasaan pemilihan setiap pelajar dilakukan oleh beberapa individu dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Arab Saudi yang ada di negara ini.

"Pada masa akan datang, kami bercadang untuk memberikan pendidikan berbentuk kemahiran teknologi kepada pelajar terbabit dalam peringkat selanjutnya," katanya.

Info tawaran pendidikan Sekolah Saudi Kuala Lumpur kepada anak-anak warga Rohingya.

- Guru yang mengajar terdiri dari warga Arab Saudi, Sudan, Jordan dan Syria.

- Sekolah menyediakan khidmat pengangkutan untuk pelajar pergi/pulang sekolah.

- Bahasa Arab dan membaca Al-Quran adalah pelajaran utama untuk semua pelajar Rohingya.

- Setiap pelajar akan menjalani program pendidikan awal selama 3 bulan

- Pada masa akan datang, Sekolah Saudi Kuala Lumpur dan Yayasan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman, di Arab Saudi merancang membuka sekolah baru yang lebih besar khusus untuk kanak-kanak Rohingya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com