Radhi Mat Din Jadi Calon 'Favourite' Penyokong PAS Kedah


ALOR SETAR - Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi PAS Kedah menyaksikan parti bulan purnama mempertaruhkan 14 calon parti yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dun di negeri ini.

Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi dalam Majlis Pengisytiharan Calon PRU14 Gagasan Sejahtera Kedah di Kompleks PAS Kedah, semalam.

PRU14 kali ini menyaksikan PAS Kedah mempertaruhkan muka baru seperti Penolong Pegawai Penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh, 28 yang menjadi calon termuda dan akan berentap di Parlimen Alor Setar.


Paling mencuri tumpuan lagenda bolasepak Kedah, Radhi Mat Din, 53, yang diumumkan bertanding di Parlimen Pokok Sena bagi merebut kerusi disandang Datuk Mahfuz Omar sebelum ini.

Pengumuman itu ternyata mendapat tepukan gemuruh serta sorakan daripada hampir 3,000 penyokong PAS Kedah lantas menjadikan Radhi Mat Din sebagai calon 'favourite' mereka kali ini.

Radhi berpendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merupakan bekas pemain bolasepak Kedah dan Kebangsaan malah pernah menyandang jawatan bekas Penolong Jurulatih pasukan Hijau Kuning.

Beliau kini menyandang jawatan Pengarah MTD Bukit Lada dalam kancah politik dan dijangka akan memberi saingan sengit kepada Mahfuz yang bertanding atas nama Parti Amanah Negara (PAN). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com