Pyongyang Sedia Bincang Tamat Program Nuklear


WASHINGTON - Pegawai Korea Utara dilaporkan sudah memaklumkan kepada rakan sejawatan di Amerika Syarikat, bahawa Presiden Kim Jong-un bersedia untuk berbincang mengenai usaha menamatkan program nuklearnya, iaitu satu jaminan bagi membuka laluan satu mesyuarat dengan Presiden Donald Trump.

Ia juga dianggap tawaran pertama yang dikemukakan terus kepada Washington, kerana sebelum ini hasrat itu dibuat menerusi penasihat keselamatan Korea Selatan, Chung Eui-yong.

"Amerika Syarikat sudah mengesahkan bahawa Kim Jong-un bersedia untuk mengadakan perbincangan bagi menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea," kata seorang pegawai pentadbiran Trump kepada The Wall Street Journal dan Washington Post, kelmarin.

Sebelum ini, Washington mengejutkan pemerhati berikutan pengumuman yang dibuatnya pada bulan lalu, bahawa mereka bersetuju untuk mengatur pertemuan pertama antara Trump dan Jong-un yang bakal berlangsung akhir Mei ini.

Namun, maklumat mengenai tarikh atau lokasi perjumpaan itu masih belum ditetapkan. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com