Pusat Stem Di Kulim Tingkat Minat Pelajar Bidang Sains, Satu Kejayaan Bagi Norsabrina


ALOR SETAR – Penubuhan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Kulim, Kedah dilihat sebagai satu kejayaan dalam usaha meningkatkan peratusan minat pelajar dalam bidang sains di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, perkara itu dapat dibuktikan melalui pertambahan ketara pelajar dalam aliran sains sejak pusat itu ditubuhkan.

“Kalau tiga tahun lepas, peratusannya hanya sekitar 18 hingga 20 peratus sahaja namun, kini ia meningkat hampir sekali ganda.

“Ini membuktikan perancangan kita dengan turun ke peringkat pendidikan paling bawah iaitu tadika berjaya menyuntik minat kanak-kanak dalam bidang Sains,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara peringkat Kedah di Bandar Baharu dekat Kulim, Kelmarin.

Tambah Norsabrina, bukan sahaja peningkatan pelajar dalam aliran sains perlu dibanggakan, pencapaian dengan memenangi pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa turut membuktikan pelajar di Kedah berada dalam kelas tersendiri.

Terdahulu, Pusat itu dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan beroperasi di bangunan Techno Centre di Taman Teknologi Tinggi Kulim Hi-Tech Park. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com