Pusat Penyelidikan Padi Wilayah Utara Di Jerlun Bakal Dibina Jika BN Menang


ALOR SETAR - Sebuah pusat penyelidikan padi khusus untuk wilayah utara akan dibina di Jerlun dalam tempoh lima tahun akan datang, sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negeri Kedah.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz, berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam manifesto Parlimen Jerlun, kesinambungan daripada manifesto BN pusat dan negeri yang diumumkan baru-baru ini.

Othman yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata  pusat itu nanti akan menjalankan kegiatan penyelidikan berkaitan tanah, benih dan pembajaan sekali gus membolehkan pengeluaran padi yang berkualiti dan hasil padi dapat ditingkatkan.

"Lokasinya belum lagi ditentukan tapi akan dibuat di Jerlun, kami akan memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mewujudkan pusat ini," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian  selepas merasmikan program Jom Turun Bendang di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata Bantuan Khas Pesawah bernilai RM23.4 juta untuk 39,102 pesawah di bawah MADA dijangka akan siap diagihkan sebelum 30 April ini.

Jelasnya, setakat ini seramai 1,500 pesawah telah mula menerima wang bantuan berkenaan sejak ia mula diagihkan 14 April lalu membabitkan peruntukan RM900,000.

Pada 27 Mac lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khas sebanyak RM200 selama tiga bulan khusus untuk lebih 300,000 pesawah di seluruh negara.

Najib turut berjanji akan mengumumkan kenaikan bantuan khas itu pada malam pilihan raya umum ke-14 sekiranya BN menang besar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com