Puluhan Lubang Hitam Terletak Di Pusat Galaksi


LONDON – Puluhan lubang hitam berkemungkinan terletak di pusat galaksi iaitu Bima Sakti, menurut para penyelidik.

Lapor BBC, analisis terbaharu itu menyokong ramalan puluhan tahun dahulu yang me­nyatakan lubang hitam bersaiz besar terletak di pusat galaksi dan dikelilingi oleh lubang hitam kecil.

Bagaimanapun, penyelidikan terdahulu di pusat Bima Sakti, di mana terletaknya lubang hitam bersaiz besar, menemukan sedikit bukti berhubung ramalan terbabit.

Menurut Charles Hailey dari Universiti Columbia di New York, pasukannya menggunakan data arkib daripada teleskop X-ray Chandra milik Pentadbiran Ang­kasa dan Aeronautik Negara (NASA) untuk merumuskan ke­simpulan mereka.

Mereka menemukan berpuluh-puluh ‘sistem binari’ yang tidak aktif dan mempunyai jisim rendah, di mana bintang mengorbit lubang hitam.

Lubang hitam bersaiz besar itu dikenali sebagai Sagittarius A* dikelilingi oleh lingkaran gas dan habuk, yang menjadi tempat kelahiran bintang besar.

Bintang-bintang ini hidup, mati dan boleh bertukar menjadi lubang hitam di sana.

Di samping itu, lubang hitam dari luar lingkaran dipercayai jatuh akibat pengaruh Sagittarius A* ketika kehilangan tenaganya, menyebabkan mereka ditarik ke kawasan sekitar, di mana ia ditawan oleh kekuatannya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com