Pua Gagal Dalam Rayuan Saman Salah Laku 1MDB


PUTRAJAYA – Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee gagal dalam rayuannya untuk mengenakan semula tuntutan mahkamah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan atas dakwaan salah laku dalam mengendalikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Yeoh Wee Siam sebulat suara menolak rayuan Pua dan memerintahkannya membayar kos RM5,000 masing-masing kepada Najib serta kerajaan.

Ahmadi yang mengetuai panel hakim itu menegaskan tiada merit dalam rayuan Pua itu.

“Tiada kekhilafan boleh dirayu untuk mewajarkan campur tangan kami (mahkamah),” katanya dan menambah, mahkamah itu turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi.

Pua,yang merupakan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dalam Parlimen Malaysia ke-13, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober yang membatalkan tuntutan mahkamah beliau ke atas Najib dan kerajaan.

Pua, yang juga pengerusi DAP Selangor, menyaman Najib dan kerajaan pada 16 Januari tahun lepas, atas dakwaan terlibat dalam salah laku pentadbiran awam berhubung isu 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 14 Februari tahun lepas, Najib memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan beliau bukan pegawai awam dan mendakwa Pua telah menyalahgunakan proses mahkakmah.

Kerajaan, dalam pada itu, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac tahun lepas, atas alasan Pua tidak mempunyai locus standi untuk berbuat demikian.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin membatalkan saman terhadap Najib dan kerajaan selepas memutuskan Pua tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ke atas kedua-dua defendan.

Peguam Michelle Ng mewakili Pua, peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Najib manakala peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching hadir bagi pihak kerajaan. -Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com