#PRU14:Pengundi Tertua Terengganu Tak Sabar Pangkah Dacing


KUALA TERENGGANU - "Dari zaman kapal layar sampailah sekarang, kerajaan guna simbol dacing, tok memang tak pernah pangkah simbol yang lain", kata Mamat Abdullah.

Mamat yang kini berusia 117 tahun, dikatakan pengundi tertua di Terengganu, yang akan menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Ditemui Bernama di rumahnya dekat Kampung Beladau Kolam, dekat Manir di sini, beliau nampak begitu teruja mahu 'memangkah' simbol kesayangannya pada tarikh keramat itu nanti.

Diiktiraf Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai warga emas tertua Terengganu, Mamat berkata beliau bakal ditemani anaknya, Abdullah, 62, untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara buat kali yang ke-14.

Mamat, yang akan mengundi di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, berkata setianya  pada 'kapal layar' dan 'dacing' adalah kerana masih mengingati betapa banyak jasa dinikmati rakyat hasil kesungguhan Parti Perikatan dalam menuntut kemerdekaan pada pilihan raya yang pertama tahun 1955.

Anaknya, Abdullah, pesara guru, berkata ayahnya itu sering berkongsi pengalaman mengenai kesukaran hidup rakyat terutama orang Melayu pada zaman sebelum merdeka dan pembangunan yang dilakukan kerajaan untuk membela nasib mereka.

"Ayah selalu cerita susahnya hidup zaman itu hanya Allah yang tahu. Selepas Perikatan menang besar dan membentuk kerajaan, perlahan-lahan rakyat mula hidup selesa dengan kemudahan asas seperti jalan raya dan peluang belajar lebih baik untuk anak-anak.

"Macam-macam yang kerajaan lakukan untuk rakyat, dari dulu sampai sekarang banyak bantuan diberi untuk rakyat nikmati hidup yang lebih baik...sebab itu ayah kata tak pernah terfikir nak pangkah yang lain," katanya.

Beliau berkata ayahnya sering memberi nasihat agar mereka sentiasa bersyukur dengan kemakmuran dan kesejahteraan negara serta merebut semua peluang yang disediakan kerajaan seperti dalam bidang pendidikan dan perniagaan demi masa depan anak cucu yang lebih baik.

"Sayang dan setianya ayah kepada 'dacing' juga disebabkan pemimpinnya sering mengambil berat kebajikan rakyat, malah pemimpin tempatan juga sering menziarahi setiap kali ada kesusahan, sakit pening serta meraikan kenduri-kendara," katanya.

Turut berkongsi kesetiaan sama kepada 'dacing' ialah Fatimah Ismail yang berusia 106 tahun di Kampung Pujuk, juga dalam kawasan DUN Manir.

Anaknya, Ibrahim Idris, 71, berkata ibunya itu telah diberitahu bahawa beliau perlu mengundi lagi untuk kali ke-14 pada 9 Mei ini.

"Sejak tu, dia memang bawa sokmo (selalu) kad pengenalan dia ke mana-mana, simpan dalam plastik elok-elok kerana tahu untuk pangkah 'dacing', dia perlu bawa kad pengenalan.

"Bila nampak sahaja bendera atau logo 'dacing' di skrin televisyen atau yang dipasang di tepi jalan, mesti mok (emak) tunjuk-tunjuk dan senyum lebar kerana dulu waktu masih lancar bercakap, mok memang selalu cerita tentang banyaknya jasa kerajaan dalam mengubah hidup rakyat," katanya. - BERNAMA 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com