#PRU14: Senarai Penuh Calon "PPBM" Mewakili PKR Di Kedah


ALOR SETAR - Calon Perdana Menteri "sementara" pakatan pembangkang yang bakal bertanding dengan logo PKR, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dirinya bakal bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lewat malam tadi.

Mahathir yang kini berusia 93 tahun itu turut mengumumkan anaknya, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk bertanding di dua kerusi melibatkan Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jitra.

Mukhriz sebelum ini dengan pertolongan bapanya dan kerja keras jentera UMNO pada PRU ke-12 pernah memenangi kerusi Parlimen Jerlun sebelum bertanding dan menang di Dun Ayer Hitam pada PRU ke-13 yang lalu, juga dengan bantuan dua pihak itu.

Ekoran anaknya bakal bertanding di Dun Jitra yang kini disandang oleh Dato' Aminuddin Omar (BN), kerusi Dun Ayer Hitam yang dikosongkan Mukhriz akan ditandingi oleh Dato Abdul Aziz Mohamad.

Selain Mukhriz, rakan baiknya yang juga merupakan bekas Adun PAS, Dato' Amiruddin Hamzah juga bakal bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu dan mempertahan kerusi Dun yang disandangnya, Anak Bukit, ketika bertanding di atas tiket PAS sebelum ini.

Parlimen Kubang Pasu sebelum ini merupakan kubu kuat Mahathir ketika menjadi Presiden UMNO sehingga "bersara".

Mahathir turut mengumumkan nama Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di Parlimen Pendang, Mohd Taufik Yaacob bertanding di Parlimen Baling dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi bakal bertanding di Parlimen Jerai.

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi merupakan anak kepada bekas pemimpin kanan Mahathir, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

Sementara itu, Dun Bukit Kayu Hitam akan ditandingi oleh Halimahton Saadiah Saad, Dun Bukit Lada akan ditandingi oleh Mohd Aizad Roslan, Dun Kuala Nerang akan ditandingi oleh Syed Fadzil Syed Embun dan Abdul Razak Khamis pula akan merebut Dun Sungai Tiang.

Dun Jeneri pula akan ditandingi oleh Mohd Nazari Abu Hassan, Dun Bayu akan ditandingi oleh Abdul Rahim Kechik, Guar Chempedak akan ditandingi oleh Mohd Saffuan Sabari, Dun Tanjung Dawai oleh Mejar (B) Annuar Abdul Hamid dan Mohd Firdaus Ahmad di Dun Kuah.

Bekas Setiausaha Politik Mukhriz, Dato' Azimi Daim pula menepati ramalan ramai apabila diumum bakal bertanding di Dun Bandar Baharu manakala Johari Bulat akan mencabar kerusi Dun Ayer Hangat.

Termasuk Mahathir yang bakal bertanding di Parlimen Langkawi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara itu membolot sebanyak 6 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dun untuk ditandingi di Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com