PRU14 Rezeki Bagi Pencari Buluh Bendera Parti Di Jitra


ALOR SETAR – Kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin dirasai apabila menyaksikan hampir kesemua jalan-jalan utama malah jalan kampung dihiasi meriah dengan kibaran bendera parti masing-masing, bagaikan berpesta bendera.

Kibaran bendera itu pastinya tidak dapat berdiri megah jika tidak dibantu dengan sebatang buluh, disebalik itu juga rupanya ada insan yang sedang memerah keringat masuk ke dalam ceruk hutan bagi mendapatkan buluh bagi kegunaan bendera parti yang kini mendapat permintaan tinggi.

Keringat manusia yang bersusah payah untuk mencari tumbuhan itu turut diberi dugaan besar sehingga ada yang disengat serangga dan binatang berbisa.

Memetik keratan Bernama, Hamzah Yahya, 30, memberitahu dia dan rakannya memulakan pendakian bukit curam sejauh 10 kilometer seawal jam 8 pagi di hutan Guar Napai, Jitra.

Pendakian itu dibuat sejak beberapa hari lalu demi mencari buluh untuk memenuhi permintaan pejabat Parlimen Jerlun sempena pilihan raya ini.

Tidak mahu menolak rezeki pada musim pilihan raya, Hamzah memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terhidang dan dikatakan sudah kerap melakukan pekerjaan itu.

Menurut Hamzah,  mereka memerlukan sebanyak 2,000 batang buluh agar ia dapat diagihkan di kesemua 35 Pusat Daerah Mengundi (PDM) daerah itu.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di PDM Lubok Pinang dekat Ayer Hitam, Hamzah berkata setiap batang buluh yang telah diproses sepanjang 10 kaki dijual dengan harga RM2.50 sebatang, termasuk kos penghantaran menggunakan lori ke setiap PDM.

Buluh yang disediakan Hamzah bukan sebarang buluh kerana mereka akan meneliti dan memilih buluh yang bersesuaian,seperti ciri yang sudah matang iaitu berusia 10 tahun ke atas dan berlumut bagi menjamin ketahanannya agar tidak mudah patah.

“Misalnya hari ini kami perlu cari 600 batang buluh, kami juga perlu membawa buluh berkenaan turun dari bukit yang curam secara berpasangan, memang satu tugas yang mencabar apatah lagi ketika cuaca hujan kerana laluan licin,” katanya.

Bagi, Khairul Idham, 27, katanya adalah menjadi lumrah dan cabaran jika diserang serangga atau haiwan berbisa seperti penyengat ketika proses mencari buluh dilakukan.

“Malah apa yang amat ditakuti kami sudah semestinya miang buluh, walau macam mana nak elak sekali pun mesti terkena juga lepas itu terpaksa beberapa hari rasa gatal,” katanya dan menambah, ia juga merupakan satu daripada cara mereka menyemarakkan semangat cinta parti melalui aktiviti mencari buluh. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com