PRU14: Polis Kenalpasti 16 Lokasi Panas Di Kuala Muda


ALOR SETAR – Sebanyak 16 lokasi panas telah dikenalpasti di daerah Kuala Muda, yang membabitkan dua kawasan Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan diberikan tumpuan khusus oleh polis Kedah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, kesemua 16 lokasi tersebut dikategorikan sebagai ‘panas’ susulan kepadatan pengundinya yang melebihi 3,000 orang, yang dibimbangi boleh tercetusnya kejadian tidak diingini.

“Kita akan menempatkan seramai 650 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selain turut dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bukit Aman, bagi memastikan perjalanan PRU14 lancar.

“Kita turut mengenal pasti sekumpulan individu yang mungkin cuba menimbulkan suasana kecoh di daerah ini ketika PRU nanti..mereka rasa diri sebagai juara kampung dan mungkin akan membuat kecoh namun polis ingin memberi peringatan supaya mereka tidak bertindak melanggar undang-undang,” katanya memetk Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di IPD Kuala Muda, di sini, kelmarin.

Tambahnya, polis turut memiliki rekod gambar anggota individu-individu terbabit dan mereka boleh ditahan mengikut peruntukkan undang-undang jika didapati cuba menimbulkan masalah atau kekecohan.

​​​​​​​”Gambar mereka ini pun kita sudah ada jadi nasihat saya, janganlah menimbulkan masalah sehingga mereka boleh ditahan..polis akan ke rumah mereka untuk menahan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, sepanjang PRU14, polis kontinjen Kedah akan menugaskan seramai 5,200 anggota bagi memastikan kelancaran PRU14 serta keselamatan pengundi.

“Pengundi tidak perlu berasa bimbang dan boleh keluar mengundi dengan selamat..malah anggota Rela juga akan membantu polis trafik bagi mengawal lalulintas.

“Soal kempen pula mana-mana parti boleh berkempen tanpa larangan dan pengundi boleh mendengar kempen dalam keadaan selamat kerana polis akan menjaga dan mengawal keselamatan sepanjang PRU ini,” jelasnya. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com