#PRU14: Polis Kedah Buka Tiga Kertas Siasatan


ALOR SETAR - Polis Kedah telah membuka tiga kertas siasatan kes berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilaporkan di seluruh negeri itu sejak pembubaran Parlimen 7 April lepas.

Menurut Ketua Polisnya Datuk Zainal Abidin Kassim berkata hingga kelmarin pihaknya menerima 27 laporan polis berkaitan PRU14 di daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Kulim.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang pembubaran Parlimen hinggalah kelmarin, polis Kedah menerima sebanyak 27 laporan polis berkaitan kesalahan yang dilakukan berkaitan piliharaya.

Antara kesalahan tersebut adalah berkaitan bendera dan poster sebanyak 21 laporan, mengenai berita tidak benar (4 laporan) dan ganggu ketenteraman awam (1 laporan) dan lain-lain (1 laporan).

"Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berikutan kesalahan bakar bendera. Daerah yang terlibat  di Kota Setar, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baru,"katanya.

Tambah beliau, proses penamaan calon di semua 15 pusat penamaan calon di Kedah semalam berjalan lancar, terkawal dan tiada kejadian yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam dengan dikawal oleh 2,527 anggota dan pegawai polis bertugas semalam.

Jelas Zainal Abidin, dalam tempoh berkempen mulai hari ini hingga 8 Mei, seramai 1,309 anggota dan pegawai polis ditugaskan di semua daerah manakala pada hari pengundian pula seramai 5,214  anggota serta pegawai akan bertugas dengan dibantu 203 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am.

"Kita menasihatkan semua penyokong parti politik agar lebih berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menjurus kepada pergaduhan dan provokasi sepanjang kempen pilihan raya ini," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com