#PRU14: Mukhriz "Langgar" Pak Tam Di Dun Jitra?


ALOR SETAR - Dato' Aminuddin Omar bakal menggalas tugas besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini jika beliau sekali lagi dicalonkan oleh Barisan Nasional untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jitra yang dimenanginya pada PRU yang lalu.

Jika dicalonkan semula di kerusi itu, beliau perlu mempertahankan kerusi itu daripada dirampas oleh bekas 'bos'nya, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir yang diumumkan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon pembangkang yang bakal bertanding atas tiket PKR.

Aminuddin yang menerima sebanyak 17,094 undi menang di Dun Jitra pada PRU ke-13 yang lalu dengan majoriti 3,056 undi, menewaskan calon PAS, Dr Rohani Abd Muttalib yang hanya memperoleh sebanyak 14,038 undi, dalam pertarungan satu lawan satu.

Difahamkan bahawa Aminuddin atau juga dikenali sebagai "Pak Tam" sebelum ini merupakan pemimpin kanan yang merupakan antara penyokong terkuat Mukhriz ketika bekas Menteri Besar Kedah itu bersama UMNO.

Walau bagaimanapun, Pak Tam tidak mengikut jejak langkah Mukhriz yang menyertai parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan buat sementara waktu oleh RoS akibat masalah yang gagal diselesaikan oleh pengurusan dalaman parti itu sendiri.

Dun Jitra sebelum ini merupakan antara salah satu Dun yang dijangka akan ditandingi Mukhriz pada PRU ke-14, selain daripada Dun Ayer Hitam dan Dun Kuah.


Walau bagaimanapun, anak kesayangan Mahathir itu turut dijangka tidak akan diberi laluan mudah selepas bertanding di atas tiket pembangkang ekoran prestasinya sebagai Adun Ayer Hitam sebelum ini mendapat kritikan ramai penduduk di kawasan itu.

Selain jarang turun padang, beliau dikatakan hanya mengharapkan wakilnya sahaja untuk menjalankan tugas sebagai Adun di sana dan lebih malang lagi terdapat desas-desus yang merungut wakilnya juga selalu "hilang".

Mengambil langkah untuk "lari" di Dun Ayer Hitam yang mungkin meranapkan harapannya untuk mengejar kuasa pada PRU ke-14 ini, Mukhriz semalam diumumkan Mahathir sebagai calon Dun Jitra.

Selain Dun Jitra, Mahathir turut mengumumkan anaknya itu akan dicalonkan atas tiket PKR di Parlimen Jerlun yang sebelum ini pernah dimenangi Mukhriz di atas pertolongan jentera UMNO di situ. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com