PRU14: ‘Kartel’ Azmin Tergugat, Calon Dicantas


HABUAN paling besar diperolehi PKR ialah negeri Selangor yang dirampas dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Kerajaan negeri Selangor dan beberapa kawasan Parlimen di Lembah Kelang ialah kubu PKR yang membolehkannya membina kekuatan politik melalui jawatan-jawatan dimenangi dan melalui lantikan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, kubu inilah yang sedang dipertahankan oleh PKR dan pada masa yang sama menjadi rebutan antara dua kem.

Tokoh paling kuat di Selangor ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR.

Selepas kegagalan “Langkah Kajang” untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar, Azmin merebut kerusi idaman PKR itu.

Di Selangor, Azmin membina kubu kuatnya dan melalui pengaruhnya turut membina hubungan baik dengan wakil-wakil PAS dalam kerajaan negeri ini.

Azmin menjaga hubungan dengan PAS sehinggalah hubungan sukar diselamatkan apabila keretakan antara dua parti itu semakin parah selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagaimanapun, menteri besar PKR itu masih disokong oleh ADUN-ADUN PAS di Selangor walaupun hubungannya dengan PAS Selangor mula berantakan.

Menjelang waktu itu, hubungan PKR dengan PAS telah mula dingin dan tidak lama selepas muktamarnya yang lepas, PAS memutuskan untuk membatalkan kerjasama politik atau tahaluf dengan PKR.

Pada masa yang sama, persengketaan antara faksi dalam PKR semakin nyata dan kedua-dua kumpulan mula menampakkan perbezaan pandangan.

Perbezaan ini termasuk hubungan dengan PAS yang masih tidak mahu ditolak terus oleh Azmin dan kumpulannya yang digelar “kartel” atas pertimbangan pilihan raya.

Azmin bertanding dua kerusi yang kedua-duanya mengharapkan jentera dan undi PAS, iaitu Parlimen Gombak dan kerusi negeri Bukit Antarabangsa.

Antara pemimpin lain yang menyokong timbalan presiden PKR ini ialah Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Elizabeth Wong.

Tian Chua yang memenangi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mengharapkan jentera dan sokongan PAS dan orang Melayu.

Beliau ialah antara pemimpin PKR yang paling lunak dan berdiplomasi dengan PAS walaupun pada masa partinya berperang mulut dengan parti Islam itu.

Berita yang menyebut beliau tidak disenarai ataupun namanya dicantas daripada senarai calon PKR menampakkan yang pertembungan dua kem besar dalam PKR semakin sampai ke kemuncaknya.

Maka tidak hairanlah kalau beliau mempertimbangkan untuk keluar parti dan mengadakan sidang media khas mengumumkannya.

Walaupun beliau nampaknya membatalkan hasrat untuk keluar parti, Tian Chua telah memberi peringatan kepada kepimpinan PKR.

Tindakan beliau selepas ini mungkin akan mencetuskan lagi kekecohan dalam parti, bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat pemimpin tertinggi PKR mengenai kerusi ditandingi dan calon yang dipilih.

Selain Tian Chua, dikhabarkan banyak lagi nama lain yang termasuk dalam senarai “kartel Azmin” telah ditolak oleh presiden parti yang disokong oleh Rafizi Ramli, naib presiden yang juga setiausaha agung.

Presiden parti Wan Azizah telah menunjukkan kuasanya pada masa PRU14 ini dalam menentukan calon-calon, yang akan menentukan nasib PKR pada masa depan dan survival beliau dan kemnya selepas pilihan raya nanti.

Apa yang paling penting ialah percaturan menjelang PRU14 ini ialah satu penentu kepada siapa yang akan lebih berkuasa selepas pilihan raya nanti dan akan melonjak menguasai parti dalam pemilihan kepimpinan akan datang.

Wan Azizah dan Azmin – dan juga Rafizi – kini akan terus bergelut untuk memastikan mereka dan senarai kem mereka selamat, untuk PRU14 ini dan tempoh lebih mencabar selepas itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com