PRU14 Jatuh Pada Rabu Dikata binasa? Ini Jawab Mufti!


PETALING JAYA - Kecoh sebaik saja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman bahawa hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah 9 Mei, yang jatuh pada Rabu.

Pelbagai kritikan dilontarkan mengenai relevan hari tersebut ditetapkan berikutan ia adalah hari bekerja tetapi tarikh 9 Mei itu kemudian diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan seluruh negara sempena hari rakyat negara ini yang mendaftar sebagai pemilih dapat menjalankan tanggungjawab mereka.

Terkini tular di media sosial mengenai Rabu dikaitkan dengan hadis yang menyebut ia merupakan hari 'bencana atau yang membinasakan'.

“Dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai hari Rabu. Maka Baginda menjawab: Hari Rabu adalah hari bencana yang berterusan kerana pada hari itu, Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya, memusnahkan kaum Aad dan Tsamud, iaitu kaum Nabi Salleh AS yang ingkar kepadanya,” petikan hadis yang kini tular di laman sosial, dan dikaitkan dengan hari mengundi PRU14.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpandangan bahawa setiap hari yang Tuhan jadikan itu adalah bagus, meskipun terdapat segelintir ulama dan ahli falak yang mengesyorkan sesetengah hari adalah lebih bagus.

“Pada saya, tiada hari yang nahas (kurang baik), semua hari bagus. Tapi secara kebetulan saja hari yang berlaku pada Firaun adalah Rabu. Dan adakah semua hari binasa yang berlaku sebelum ini jatuh pada Rabu? Tak ada sebenarnya.

“Tidak ada secara jelas hukum yang mengatakan bahawa hari ini tak boleh, hari itu tak boleh. Cuma yang dilarang adalah mengkhususkan puasa pada hari Jumaat saja.

“Kebetulan Tuhan jadikan sesetengah peristiwa itu berlaku pada Rabu, tetapi tidak pula setiap Rabu itu dijadikan sebagai hari yang kurang baik,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Menurut Harussani, setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Alllah SWT tanpa menetapkan sesuatu itu berlaku pada hari-hari yang khusus.

Sehubungan itu katanya, adalah bertentangan sekiranya seseorang begitu taksub terhadap hari tertentu yang digambarkan mereka sebagai membinasakan.


Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid pula berkata, mana-mana hari yang ditetapkan Allah SWT semuanya adalah baik tanpa membezakan antara satu sama lain.

Tanpa merujuk kepada hari mengundi PRU14, Mohd Tamyes berkata, terdapat hari yang mempunyai kelebihan seperti Jumaat yang menjadi penghulu segala hari.

“Secara peribadi, saya tidak memandang apa-apa perbezaan terhadap hari-hari lain, selain Jumaat. Cuma mungkin dari segi maslahat manusia hari ini terhadap hari-hari tertentu untuk memulakan sesuatu seperti melakukan tugasan.

“Malahan, teringat bila arwah ayah dan arwah atuk saya dulu kata kalau nak pergi mengaji eloklah bermula Rabu. Tapi sampai sekarang saya tak tahu apakah sebabnya.

"Apapun, yang membolak-balikkan atau yang menentukan peredaran masa adalah Allah SWT, bukannya pada hari tertentu,” katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com