PRU14: Jangan Sabotaj, Sokong Calon – BN Johor


JOHOR BAHRU – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Md Jais Sarday meminta pemimpin yang tidak dipilih semula sebagai calon gabungan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon-calon BN yang bertanding.

Sambil meminta supaya mengetepikan rasa kecewa, beliau berharap mereka akan membantu calon-calon BN yang bertanding untuk mendapat kemenangan besar pada PRU nanti.

“Kepada calon yang tidak dicalonkan semula, saya harap mereka jangan kecewa kerana semasa jadi calon dahulu, orang lain sudah berkerja keras untuk mereka…tidak menjadi calon bukan bermakna ia akan mengakhiri masa depan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Johor di sini, pada Isnin.

Md Jais yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengingatkan sekiranya ada kalangan mereka yang melakukan sabotaj kepada calon BN atau melawan parti, mereka akan dikenakan tindakan kerana melanggar perlembagaan parti.

“Apa-apa pun, ia (hukuman) berasaskan tindakan mereka. Kalau setakat cakap sahaja, itu belum melanggar perlembagaan…biasalah, dalam masa sekarang mungkin mereka kecewa,” katanya.

Mengenai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang tidak dicalonkan semula di Parlimen Batu Pahat dan dikhabarkan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi berkenaan, Md Jais berkata ia sekadar luahan rasa Mohd Puad.

Setakat ini, pihaknya tidak menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu.

Ditanya adakah BN Johor akan memujuk Mohd Puad, beliau berkata ia terserah kepada kepimpinan tertinggi untuk melakukan tindakan sewajarnya.

“Jawatan dia (Mohd Puad) masih ada lagi, dia belum langgar peraturan… orang tengah marah, tetapi dia belum melakukan apa-apa yang menyalahi (perlembagaan parti).

“Kalau dia melawan calon parti, baru salah. Tindakan akan diambil oleh peringkat tertinggi dan ia bergantung kepada pertimbangan Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Tertinggi. Setakat meluahkan perasaan, belum bererti dia melanggar parti,” katanya.

Md Jais juga berkata BN Johor tidak terjejas sekiranya Mohd Puad bertanding sebagai calon bebas.

Semalam, satu mesej luahan rasa yang dikatakan daripada Mohd Puad, menjadi tular setelah beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

Sehubungan itu, beliau dikatakan akan melepaskan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Khamis ini untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu Pahat dan DUN Senggarang.

Pada PRU13, Mohd Puad ditewaskan calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi dengan majoriti 1,732 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Batu Pahat. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com