#PRU14: DAP, PH Bimbang Penjelasan Arul Kanda


DALAM isu 1MDB, hakikatnya DAP dan pengkritik sudah kehabisan modal untuk menyerang dan mengaitkannya dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Wakil DAP sendiri dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Tony Pua tidak bersedia berdebat dengan Arul Kanda, CEO 1MDB dan telah mengatakan yang beliau berpuas hati dengan penjelasan peguam negara tentang 1MDB.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP (yang telah tidak dicalonkan lagi) Dr Tan Seng Giaw juga menolak daripada mengikut skrip DAP mempersalahkan Najib kerana tidak ada bukti untuk mengaitkan perdana menteri dengan kes 1MDB.

Segala gimik yang diusahakan oleh pembangkang telah menemui jalan buntu, dan fitnah bahawa PM Najib akan ditangkap apabila keluar negara juga terbukti fitnah semata-mata.

DAP dan pembangkang akhirnya sekadar bersorak dengan laporan media asing tentang 1MDB, menjadikan rampasan kapal Equinamity (yang telah didapati satu kesilapan) sebagai bahan troll dan membuat dakwaan-dakwaan liar lain.

Menurut Arul, beliau sudah memberikan penjelasan sewajarnya berhubung hal 1MDB ke seluruh negara, dan sesi penjelasan ini dihadiri oleh pemimpin pembangkang sendiri.

“Apa yang anda ada sekarang ialah siasatan yang sebetulnya tidak melibatkan kami secara langsung,” katanya, merujuk kepada siasatan-siasatan di luar negara.

“Bagaimanapun, pembangkang dan media memutar perkara ini untuk mengaitkan syarikat ini dan seterusnya Kementerian Kewangan dan kerajaan, untuk membuat mereka kelihatan tidak baik.

“Oleh itu, peranan kami adalah untuk memberikan perspektif syarikat, kisah yang berlaku dan memberi fakta. Dengan itu, maka rakyat boleh membuat keputusan berdasarkannya,” kata Arul seperti dilapor media.

Seolah-olah tewas dengan penerangan Arul dan ingin membalas dengan kempen melemparkan tuduhan lagi, DAP telah cuba menambah gambaran buruk kepada kerajaan.

“Jadi, bagi saya, ia menunjukkan bahawa pembangkang benar-benar bimbang hakikat bahawa kita berkongsi maklumat dan fakta secara terbuka, dengan sesi soal jawab dan membolehkan sesiapa sahaja hadir.

“Saya fikir ini telah membuat mereka tidak stabil dan mereka menyedari bahawa mereka perlu pergi satu langkah melepasi Tony Pua dan mendapatkan Lim Kit Siang untuk tampil dan mula menyerang Arul Kanda untuk melemahkan kredibiliti kerana mereka bimbang mesej itu kini telah mulai difahami,” katanya.

Serangan-serangan untuk memburukkan persepsi terhadap PM Najib dan kerajaan ini diteruskan walaupun projek-projek 1MDB telah menunjukkan kejayaan.

“Kita ingin rakyat tahu, di sebalik semua tohmahan-tohmahan yang dilemparkan pihak pembangkang, sebenar­nya syarikat ini telah berjaya menarik pelabur ke Tun Razak Exchange (TRX) seperti HSBC Bank Malaysia Bhd., Prudential dan Affin Bank Bhd. selain menandatangani usaha sama dengan Lend Lease.

“Projek pembangunan tanah ini membabitkan nilai pembangunan kasar RM40 bilion dan apabila dibangunkan ia akan membuka lebih 30,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com