#PRU14: Calon BN Semua Negeri Diumum Mulai Esok


RASMI… Senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal diumumkan bermula esok hingga Selasa ini.

Ia dilakukan Pengerusi BN di negeri masing-masing, demikian disahkan setiausaha agung gabungan 13 komponen parti pemerintah itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dipetik portal berita tempatan hari ini.

“Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pengumuman calon serta pelancaran manifesto juga akan dibuat esok (Ahad) pada jam 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

“Berikutan itu, kita (sekretariat ibu pejabat BN) sudah mengeluarkan arahan agar pengumuman calon BN perlu dibuat bermula Ahad hingga Selasa ini,” kata Tengku Adnan ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Sabtu.

Sebelum ini, laporan media tertentu ada melaporkan bahawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan mengumumkan senarai muktamad calon parti itu untuk kerusi di seluruh negara.

Bagaimanapun pada Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Najib sudah memberikan kebenaran kepada pimpinan BN negeri mengumumkan calon di negeri mereka.

Pada PRU ke-13 lepas, kesemua calon BN diumumkan secara serentak di seluruh negara oleh setiap Pengerusi BN negeri masing-masing pada 16 April 2013 iaitu hanya baki empat hari sebelum tiba hari penamaan calon 20 April.

Kali ini, penamaan PRU ke-14 jatuh pada 28 April manakala pengumuman serta pemberian watikah pencalonan oleh Tengku Adnan bagi calon wilayah Persekutuan disifatkan lebih awal berbanding edisi PRU sebelum ini.

Pengundian pada PRU kali ini pula jatuh pada 9 Mei depan, dengan tempoh berkempen selama 11 hari serta proses pengundian awal ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Mei. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com