#PRU14: Artis Laku Seperti 'Goreng Pisang Panas'


KEHANGATAN Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) melihatkan khidmat artis dan selebriti tanah air sekali lagi laris seperti 'goreng pisang panas' susulan parti bertanding akan 'menggunakan' mereka untuk mendekati pengundi.

Selebriti terkenal, antaranya Datuk Rosyam Nor; Aishah (Wan Aishah Wan Ariffin), Zainal Abidin, Datuk Norman KRU, Khir Rahman, Rahim R2, Zizie Ezette dan Anne Ngasri antara mereka yang menyumbangkan jasa kepada parti pada PRU lalu.

Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi, berkata kebanyakan artis akan menerima banyak undangan atau tempahan daripada parti atau calon bertanding ketika mengadakan ceramah minggu kempen.

"Ya (betul). Ramai artis yang berminat dengan politik akan buat persembahan masa minggu kempen.

"Biasanya, artis popular mempunyai banyak peminat akan jadi pilihan utama dan mereka yang sedia berkhidmat untuk menghiburkan rakyat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Perkara sama turut diakui Presiden Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT), Datuk A Rahman Hassan, yang bersemangat untuk terus bekerja mengumpulkan artis tempatan bagi menyokong kempen parti ketika pilihan raya.

Katanya, KUAT ketika ini dianggotai selebriti antaranya, Datuk Nash, Datuk Azman Salleh, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Rahim Jailani, Dira Abu Zahar dan Liza Abdullah.

"Sebagai artis, kita juga memainkan peranan penting dalam pilihan raya, niat kita adalah untuk membalas budi dan jasa negara.

"Semua kemudahan, kesejahteraan dan pekerjaan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada dasar kerajaan yang tidak meminggirkan sesiapa sahaja di negara ini.

"Artis cuba membantu sedaya upaya menghiburkan rakyat. Dalam membantu, kita akan bantu seikhlas hati dan tidak sesekali menetapkan 'harga' perkhidmatan.

"Kita bukan nak buat duit. Sebab itu juga, kita tidak pernah tetapkan syarat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk kempen," katanya.

A Rahman berkata, mereka sedia sekiranya ada parti atau calon yang memerlukan khidmat artis pada PRU ini.

"Kalau dia (parti atau calon) minta pergi, kita pergi. Cuma kalau boleh fikirkan nasib kita kerana sebagai artis, kita tiada modal," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com