#PRU14: Ahmad Bashah Seru Rakyat Buat Pilihan Tepat


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menyeru rakyat menggunakan sebaik mungkin kuasa demokrasi demi menstabilkan negara dan memenuhi harapan generasi masa depan.

Beliau berkata, perkara itu penting dengan membuat pilihan tepat dan betul pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Melalui kuasa (PRU) 13 kali, rakyat memahami, terus meyakini dan memberi kepercayaan kepada kerajaan sedia ada untuk membawa kita ke hadapan.

"Kita jangan sesekali menggadaikan kuasa dalam tangan kita hari ini. Kita harus mempertahankan walau apapun yang akan berlaku kerana kuasa ini amat bernilai. Apabila kita hilang kuasa, kita akan hilang segala-galanya," katanya memetik BH Online.

Tambah Ahmad Bashah, kekuatan jati diri dimiliki anak gayong mampu membantu kemenangan kerajaan sedia ada pada PRU-14.

"Saya yakin kita dapat membawa perubahan dan kemajuan kepada generasi anak gayong pada masa depan.

"Namun, perkara itu memerlukan kekuatan dan permuafakatan daripada segenap lapisan rakyat di seluruh negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Malam Pendekar Segayong 'Kiambang Bertaut' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) di Kompleks Sukan Kriss Modenas di sini, malam Sabtu.

Turut hadir sama, Pendita Utama PSSPGM, Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, dan 3,000 ahli pertubuhan itu dari seluruh negara.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah turut menerima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong sebagai Imam Khalifah negeri, iaitu sandang tertinggi negeri dalam pertubuhan itu. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com