PRU-14: AirAsia Tawar Pengecualian Caj Tukar Tempahan Penerbangan


KUALA LUMPUR - AirAsia Bhd. menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan bagi tempahan yang tarikhnya jatuh pada hari mengundi pada 9 Mei untuk memastikan pelan perjalanan rakyat Malaysia tidak terganggu.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, sempena Pilih Raya Umum Kali Ke-14 (PRU-14), tawaran itu hanya sah untuk warganegara Malaysia sahaja, dan mesti dibuat dalam masa sepuluh hari dari tarikh pengumuman mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut kenyataan itu, tetamu boleh memilih tawaran pilihan berikut dengan mengisinya di dalam e-Borang yang boleh didapati di dalam support.airasia.com.

"Pilihan pertama: Tukar Penerbangan: Membuat satu penukaran tarikh untuk semua tempahan tanpa caj tambahan penukaran penerbangan untuk menangguhkan perjalanan sehingga tiga puluh hari dari tarikh perjalanan asal, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang atau cukai; atau,

"Pilihan dua: Akaun Kredit: Mengekalkan nilai tambang dalam akaun Ahli AirAsia BIG anda untuk perjalanan masa akan datang dengan AirAsia, dan ditebus dalam masa 90 hari kalendar bermula dari tarikh yang dikreditkan," kata kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com