Proton Wira Jadi Pilihan Pencuri Kereta


PETALING JAYA - Proton Wira tidak begitu bernilai jika dijual semula sebagai kereta terpakai, namun ia mengejutkan apabila ia disifatkan sebagai 'barang panas' dalam kalangan pencuri.

Tahun lalu, statistik menunjukkan model kereta tersebut menduduki carta nombor satu dalam senarai kereta yang dicuri dan sebanyak 654 kereta dilaporkan telah dicuri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Mark Lim berkata, Proton Wira yang dicuri sudah tentu disebabkan oleh barang gantian yang terdapat pada kereta itu.

"Kami percaya kenderaan yang dicuri itu telah dipotong dan bahagian pada kereta tersebut dijual kerana pengeluaran alat gantian kerana model ini telah dihentikan dan alat gantiannya sukar diperoleh di pasaran," katanya kepada The Star.

Peniaga alat ganti Proton di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur berkata, kebanyakan barangan gantian bagi Proton Wira tidak lagi dikeluarkan (di kilang).

Ia termasuk barang gantian seperti papan pemuka, panel instrumen, panel kawalan, kusyen, speedometer, tuil tangan, stereng dan lain-lain barang gantian yang lebih kecil di dalam kereta itu.

Katanya, satu-satunya pilihan yang ada adalah dengan mencari alat gantian di bengkel-bengkel potong-kereta.

Untuk rekod, Proton Wira dihasilkan antara awal 1993 dan Jun 2009.

Sepanjang pengeluaran model itu selama 16 tahun, sebanyak 952,216 unit telah dijual dan dianggarkan sekurang-kurangnya 85 peratus model tersebut masih berada di atas jalan raya.

Peniaga kereta terpakai, James Lim berkata, Proton Wira yang masih dalam keadaan baik boleh mencecah antara RM2,000 dan RM4,500 sebuah, bergantung pada tahun ia dihasilkan dan modelnya; sama ada secara automatik atau manual, 'hatchback' atau 'saloon'.

"Nilai yang ditawarkan oleh peniaga kereta terpakai adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Sesetengah peniaga hanya menawarkan sebanyak RM1,000 untuk model itu," kata Lim.

Menurutnya, ramai peniaga kereta terpakai enggan menjual model tersebut kerana mereka mendapati ia sukar untuk dijual kerana pembeli perlu membayar tunai untuk mendapatkan kereta itu.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com