Projek Sedang Giat Dilaksana, SADA Bekal Air Setiap Hari Bagi Kawasan Terjejas


ALOR SETAR -Kerajaan negeri Kedah kini sedang giat melaksanakan beberapa projek yang sudah diluluskan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di kawasan Merbok, Sungai Petani.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain, pelaksanaan itu termasuk dua projek yang dijangka selesai dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Oleh itu, katanya, beliau akan meminta pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) membekalkan air sekurang-kurang sekali sehari di kawasan terjejas sementara menunggu projek terbabit disiapkan.

Kata beliau, dua projek itu membabitkan pembinaan tiga takungan air tambahan, menjadikan keseluruhannya bakal ada lima di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, membabitkan kos RM50 juta.

"Ketika ini, hanya ada dua takungan air di loji itu. Apabila air penuh di dalam dua takungan itu, ia akan melimpah begitu sahaja ke laut.

"Namun apabila ada takungan tambahan, air akan dapat disimpan dan digunakan dalam tempoh empat hingga lima bulan, termasuk ketika musim kemarau," katanya memetik BH Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan dialog bersama penduduk di Dewan Orang Ramai Desa Kurnia Jaya, Bedong di sini, petang semalam.

Jelasnya, pembinaan sebuah tangki gergasi yang mampu menampung penyimpanan 10 juta liter air juga akan dilaksanakan dengan peruntukan RM19 juta yang meliputi kerja penggantian paip lama.

"Kita mengalami kehilangan air tanpa hasil terlalu tinggi sehingga mencapai 60 peratus. Selama ini, penduduk hanya menerima 40 peratus daripada jumlah air dibekalkan akibat masalah kebocoran paip lama.

"Kerja pembaikan sudahpun dimulakan bulan ini," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com