Program Mandi Jenazah Cari Pelapis Baru


ALOR SETAR - Masjid Kampung Padang Nyior, Mukim Padang Terap Kiri, Kuala Nerang mengadakan kursus penyelenggaraan jenazah wanita dan mendapat penyertaan dari 80 peserta wanita dari Jemaah di sini, kelmarin.

Penyelaras program, Masri Awang Kechik berkata, sambutan menggalak penduduk di kampung itu memberi impak positif disamping mendalami  kursus jenazah tersebut.

Jelasnya, kursus itu dianjurkan Kelab Warga Emas dan Kelab Bacaan Yasin Kampung Padang Nyior bagi tujuan mencari pelapis pada masa akan datang.

“Saya berharap dengan kursus yang diadakan seperti ini, anak kariah di kawasan ini tidak perlu lagi menggunakan kepakaran luar untuk memandikan jenazah terutamanya kepada ibu bapa mereka sendiri. Adalah lebih baik lagi jika ada ibu bapa yang meninggal dan anaknya sendiri akan menyelenggarakan mayat kedua ibu bapanya itu," katanya memetik Sinar.

Selain itu, jumlah penyertaan wanita yang sangat memberangsangkan itu diharap dapat mengatasi masalah kekurangan juru mandi jenazah wanita yang sering dihadapi di akhir-akhir ini.

Katanya, kaum wanita terutamanya golongan muda perlu mempelajari dan mewarisinya supaya tidak ketandusan juru mandi jenazah pada masa hadapan.

Sementara itu, kursus itu disampaikan penceramah Pemaju Masyarakat Bina Insan Parlimen Pokok Sena, Haton Saad yang turut mengajar tentang teknik teori dan praktikal kepada peserta bagi memandikan jenazah wanita. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com