Program Makanan Sekolah Jepun Unik, Boleh Dicontohi


MAKANAN yang dihidangkan oleh kantin sekolah awam di negara kita selalunya berupa nasi lemak atau yang bergoreng seperti nasi, mi dan bihun.

Namun lain pula senarionya di Jepun: di sini tiada kantin atau kafetaria untuk membeli makanan dan lebih penting murid-murid tidak dibenarkan membawa wang saku ke sekolah.

Ia agak berbeza dengan suasana waktu rehat di sekolah-sekolah Malaysia di mana murid-murid akan menuju ke kantin untuk membeli makanan yang kadangkala tidak berkhasiat manakala yang kurang mampu terpaksa berlapar atau makan bekal yang dibawa.

Program makanan ini diiktirafkan sebagai terbaik di dunia khusus diwujudkan untuk murid-murid berumur enam hingga 12 tahun.

Selaras dengan itu, adalah tidak mustahil orang Jepun sering memegang rekod hidup lama yang dianggarkan bagi wanita 87 tahun manakala lelaki (78 tahun).


Panjang umur ini selain bergantung kepada genetik, ia turut mempengaruhi diet dan pemakanan.

Sebab itulah kerajaan Jepun memastikan masyarakatnya sentiasa sihat dengan mempraktikkan pengambilan makanan yang berkhasiat sejak dari kecil lagi.

Program itu telah termaktub dalam undang-undang di Jepun pada tahun 1954. Program yang dimulakan sejurus tamat Perang Dunia Kedua pada 1946 itu diadakan kerana pada waktu itu Jepun menghadapi kekurangan makanan dan menghadapi krisis kesihatan.

Tetapi pada akhir 1960-an dan 1970-an, ketika Jepun mula membangun sebagai kuasa besar ekonomi, program makan tengah hari di sekolah mula memfokuskan kepada aspek pendidikan di meja makan.


Pelajar mempelajari bagaimana pentingnya keseimbangan diet dan tatatertib di waktu makan.

Kini, Jepun yang menghadapi masalah gaya hidup terutama kegemukan, sindrom metabolik dan keluarga yang tidak makan bersama, maka program makan tengah hari itu diolah bagi menghadapi permasalahan ini.

Maka pada 1997, Kementerian Pendidikan, Sains dan Sukan telah mencadangkan program ini dirombak kepada pendidikan nutrisi.

Pada Julai 2005, kerajaan telah meluluskan undang-undang baru menerusi Shokuiku atau pendidikan nutrisi dan makanan. Oleh itu, hampir 99.2 peratus sekolah dan 85.8 peratus di sekolah menengah rendah di Jepun melaksanakan program ini.

Apa yang menariknya, makan tengah hari murid-murid ini dihidangkan oleh pelajar sendiri tanpa pembantu!


Sebelum menghadapi hidangan, semua murid harus mencuci tangan, manakala beberapa murid yang ditugaskan mengendalikan pengagihan makanan akan memakai pakaian luar, penutup mulut dan topi.

Makanan itu akan diletakkan di dalam bekas-bekas aluminium dan dilabelkan mengikut kelas.

Tidak perlu berhimpit di dewan makan atau kantin, kerana semua murid dan guru kelas akan makan di kelas masing-masing.

Makanan yang dihidangkan pula menggunakan bahan-bahan yang segar dan daripada sumber tempatan seperti sayur yang dibekalkan oleh pekebun dan juga makanan laut daripada nelayan tempatan. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com