Program Isi Minyak Motor Percuma Tarik Lebih 500 Penunggang Di Baling


ALOR SETAR – Lebih 500 penunggang motosikal mendapat minyak petrol dan perkhidmatan tukar minyak pelincir secara percuma dalam Program Isi Mi­nyak Petrol dan Perkhidmatan Tukar Minyak Pelincir Percuma di Stesen Minyak BuraqOil Kampung Charuk Semeliang, Mukim Siong, Baling, pada Ahad.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Noor Mohd. Amin, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian mereka.

“Kami menyasarkan golongan belia memperoleh minyak petrol dan minyak pelincir ini secara percuma.

“Program ini bertujuan mem­bantu meringankan beban rakyat terutama penunggang motosikal berkapasiti 150cc ke bawah,” kata Mohd. Noor ketika ditemui pada program tersebut.

Katanya, tiga stesen mi­nyak BuraqOilyang terlibat dalam program berkenaan adalah di Kampung Charuk Semeliang, Batu 42 Pulai dan Kampung Bandar digunakan untuk mengisi minyak serta perkhid­matan tukar minyak pelincir motosikal itu.


“Program sebegini akan dilakukan dari semasa ke semasa agar mereka yang berada di kawasan pedalaman turut mendapat mi­nyak percuma.

“Kami akan beri kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan mahupun fahaman politik dan mengharapkan agar rakyat terus memberikan sokongan kepada kerajaan supaya dapat terus membantu mereka,” katanya memetik Utusan Online.

Bagi seorang pengguna Abd. Wahab Derani, 32, dari Tanjung Pari, berkata,  dia tidak menyangka apabila datang ke stesen minyak itu akan mendapat minyak petrol percuma.

“Saya terkejut apabila tiba di sini mereka menghulurkan kupon untuk mengisi minyak dan menukar minyak hitam motosikal dan ini amat menjimatkan perbelanjaan saya pada petang ini untuk membeli dan mengisi minyak petrol.

“Saya harap ia akan diteruskan agar lebih ramai golongan muda merasainya dan dapat membantu menjimatkan perbelanjaannya,” kata Abd. Wahab. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com