PPKD Sungai Petani Sasar RM15,000 Kutipan Dana Bantu Pelatih OKU


ALOR SETAR - Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Petani menyasarkan kutipan dana mencecah lebih RM15,000 untuk menambah alat bantuan mengajar dan membina tandas bagi orang kurang upaya (OKU).

Menurut Pengerusinya, Mohd Mohaidin Hashim berkata, sasaran itu akan dikutip melalui Jamuan Makan Malam Amal ‘Sentuhan Kasih’ PPDK Sungai Petani 2018 yang dijadualkan pada 6 Mei 2018 bertempat di Dewan Institut Kemahiran Mara Sungai Petani.

Tambahnya, tandas yang menjadi keperluan utama kerana setakat ini, hanya satu sahaja tandas sedia ada di premis berkenaan yang digunakan untuk 44 pelatih OKU, tujuh petugas dan seorang penyelia.

“Selain itu, PPDK masih mempunyai 15 orang pelatih lagi bagi program lawatan ke rumah iaitu mereka yang tidak datang ke PPDK tetapi masih terikat dengan program dan aktiviti PPDK,” katanya memetik Sinar Online.

Jelasnya lagi, setiap pelatih mempunyai kekurangan yang berbeza dan petugas perlu mempelbagaikan latihan termasuk didikan memperkenalkan komponen asas dalam tandas untuk pembelajaran dan latihan asas pengurusan diri yang lain seperti makan, cuci tangan dan pergaulan.

Antara kanak-kanak OKU yang berdaftar dengan PPDK termasuklah sindrom down, hiperaktif, autism, bermasalah fizikal dan bermasalah penglihatan.

Tujuan PPDK ialah membantu memulihkan anak OKU supaya boleh berfungsi seperti orang biasa melalui kokurikulum yang diajar antaranya kemahiran motor kasar, motor halus, perkembangan sosial dan bahasa, pengurusan diri, pra sekolah dan kreativiti.

Bagi orang ramai yang ingin menyumbang  boleh salurkan melalui akaun Bank Islam  02-020-0100-44375 atas nama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Sungai Petani. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com