PPBM Kedah Tak Salahkan RoS, Mahathir Didesak Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Ahli


Lebih 30 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggesa pucuk pimpinan parti membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kelemahan mereka sehingga menyebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah agar parti itu dibubarkan sementara.

Mereka yang terdiri daripada anggota PPBM akar umbi bagi bahagian Pendang, Jerai, Sungai Petani dan Alor Setar turut merasa diperbodohkan apabila masa, wang ringgit dan kerja kuat untuk parti selama ini menjadi sia-sia menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kami menuntut agar Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden PPBM), Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh serta Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli parti yang kini telah bergelar bekas ahli PPBM atas kelemahan mereka yang mengakibatkan parti terbubar.

"Kita terpaksa menumpang simpati atau menjadi peminta sedekah kepada parti lain, kami amat malu dengan tindakan bodoh pemimpin kami sendiri, " kata anggota akar umbi PPBM bahagian Pendang, Shukor Shamsuddin, yang mewakili anggota parti akar umbi yang lain, dalam satu sidang akhbar di di Alor Setar semalam.

Kumpulan itu bagaimanapun tidak menyalahkan RoS atas arahan pembubaran sementara parti yang diasakan oleh Dr. Mahathir lebih setahun lalu itu.

"Kami tidak marahkan pendaftaran pertubuhan, sebaliknya kami kecewa dan marah dengan kepimpinan parti sendiri, "kata Shukor.  

Ahli  PPBM di empat bahagian itu sebaliknya menempelak kepimpinan parti berkenaan yang disifatkan hanya pandai menghentam pihak lawan tetapi gagal menjaga 'rumah' sendiri.

Mereka hairan bagaimana Dr. Mahathir yang 22 tahun jadi  perdana menteri, Muhyiddin selaku timbalan perdana menteri dan Mukhriz selaku bekas menteri besar tidak tahu peraturan dan akta pertubuhan.

"Salah tetap salah dan jangan pula nak memperbodohkan kami dengan menyalahkan ROS pula," katanya

Shukor berkata, anggota PPBM juga tidak boleh menyalahkan RoS kerana jabatan itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, sebaliknya pimpinan parti harus belajar daripada kesilapan besar yang dilakukan mereka sebelum menguruskan parti.

Memetik laporan BH, Shukor berkata, ahli akar umbi turut mendesak Muhyiddin yang juga Presiden PPBM dan Setiausaha Agung, Datuk Shahruddin Md Salleh supaya meletakkan jawatan dalam parti kerana gagal menjalankan tugas sehingga menjadi punca kemelut yang melanda PPBM.

"Kami amat malu pada kawan dan pihak lawan terutamanya Barisan Nasional (BN) atas tindakan bodoh pemimpin kami sendiri, ...sekarang mana kami nak letak muka? Muka kami tak setebal muka pemimpin PPBM yang sedang memperbodohkan ahli di seluruh negara, " ujarnya.

Beliau turut menyindir urus setia PPBM agar mengambil kursus khas dengan RoS untuk mengetahui cara menguruskan perjalanan sesebuah organisasi politik kerana PPBM bukannya sebuah 'parti koboi'.

"Kami sekarang sudah menjadi bekas ahli PPBM Kedah tanpa keluar parti, malah terpaksa menumpang simpati atau menjadi peminta sedekah pada parti lain.

"Dah lah selama ini kami dok berkempen banyak pakai duit sendiri sekarang ini parti pula dibubar maknanya usaha kami selama ini hanya sia-sia," katanya lagi. 

Kumpulan itu juga mengoyak risalah PPBM sebagai protes terhadap pucuk pimpinan parti berkenaan.

- Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com