PPBM Dicadang Bergabung Dengan PAN Kerana Matlamatnya Sama


Walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini dibubar sementara, pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

"Saya masih percaya, saya seorang warga Malaysia ada hak bertanding. Kami boleh guna mana-mana logo, malah kami juga boleh bertanding atas tiket individu," kata Dr. Mahathir  pada sidang media selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memerintahkan PPBM dibubar selama sebulan kerana melanggar Akta Pertubuhan.

Kenyataan itu agak pelik kerana tiada siapa yang akan menyekat Dr. Mahathir untuk bertanding pada PRU14, cuma yang tidak dibenarkan ialah PPBM.

Sementara itu penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff mencadangkan tiga idea kepada parti pimpinan untuk menangani masalah pembatalan pendaftaran parti itu ketika pilihan raya umum ke-14 semakin hampir ini.

Beliau yang juga Pengarah Institut Pengajian Politik UUM  berkata PPBM boleh menggunakan isu pembatalan pendaftaran ini untuk meraih undi simpati daripada rakyat.

“PPBM boleh buat isu ini kononnya mereka mangsa tindakan politik, kononnya teraniaya dan 'kerajaan takut' dengan PPBM sehingga membubarkan parti itu," kata Kamarul Zaman menerusi Facebooknya semalam.

Menurutnya. cara kedua ialah menyertai parti lain, mungkin bergabung dengan Parti Amanah Negara (PAN) atau PKR selain bergantung dengan parti lain juga sama ada sudi menerima mereka atau tidak.

“Kalau dari segi strategi parti, sepatutnya PPBM bergabung dengan PAN sebab mereka mempunyai hala tuju yang sama. Dalam erti kata, mereka ditugaskan untuk mendapatkan undi orang Melayu bagi Pakatan Harapan.

“Lebih mudah jika mereka (PPBM dan PAN)  bergabung tapi, masalahnya pada kepimpinan PAN yang ada sekarang, sama ada mereka sanggup melepaskan jawatan atau turun pangkat dan beri ruang kepada Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebagainya untuk menjadi ketua dan menggantikan tempat mereka,” katanya.

Kata Kamarul lagi, langkah terakhir buat parti itu ialah mengambil alih parti sedia ada yang sudah berdaftar dengan memberi contoh mengambil Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) kerana langkah demikian sebenarnya lebih mudah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com