Pos Malaysia Tak Terima Bungkusan Kandung Barang Larangan


KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) tidak menerima bungkusan mengandungi barangan larangan serta boleh memudaratkan, malah pengirim boleh didakwa di mahkamah.

Jurucakap Pos Malaysia berkata, antara bahan larangan adalah bahan letupan, mudah terbakar, bersifat najis, memudaratkan dan senjata tajam.

Selain itu, senjata dan komponen yang berkaitan, dadah berbahaya kecuali pengeluaran yang mempunyai lesen eksport termasuklah narkotik serta psikotropik yang ingin dihantar bagi tujuan perubatan atau saintifik kepada negara yang membenarkannya diklasifikasikan sebagai barang larangan.

Menurutnya, barangan lain seperti yang bersifat mudah rosak jika terdedah kepada udara terutama cuaca tropika atau sub-tropika perlu disimpan di dalam bekas tertutup kedap udara semasa penghantaran ke sesuatu destinasi bagi melindunginya juga tidak diterima untuk penghantaran.

“Barangan dalam bentuk bungkusan yang mana boleh mendedahkan kakitangan pos kepada bahaya, kekotoran, kerosakan barangan pejabat, barangan pos atau boleh menjejaskan operasi pos juga tidak dibenarkan.

“Kami tidak menerima surat menyurat yang mengandungi tiket loteri atau iklan hadiah atau pengumuman yang lain dan apa jua untuk tujuan loteri awam, cabutan bertuah serta urus niaga perjudian lain.

“Syiling dan mata wang, sekuriti termasuk dibayar kepada pembawa, nota bank atau mata wang asing, bahan radioaktif sama ada dalam bentuk pepejal, cecair, gas dan corak komunikasi melampau tidak diterima.

“Bahan cetakan tidak bermoral pada seperti gambar, buku, seni rekaan atau pada tanda pembungkus yang berunsur tidak senonoh, kesat atau lucah tidak diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, antara prosedur pengeposan domestik termasuk memastikan maklumat pengirim, penerima dan pengisytiharan isi kandungan dibuat dengan tepat serta lengkap pada nota konsainan pos laju, nota konsainan Pos Laju.

Maklumat itu perlu dilekatkan dengan sempurna pada flyer atau kotak dan barang yang hendak dikirim dibungkus atau dibalut dengan sempurna, selamat serta memenuhi ciri keselamatan melindungi kandungan barang semasa kendalian secara biasa sepanjang proses pengeposan.

Katanya, setiap hari, purata barangan yang dipos antara 370,000 hingga 400,000 dan petugas perlu memastikan isi kandungan bungkusan atau surat tidak mengandungi bahan larangan.

Harian Metro pada 8 Mac lalu melaporkan senjata tajam kini mudah didapati secara atas talian dan dipos ke destinasi diminta pelanggan hingga mengundang kebimbangan meningkat pelakuan jenayah.

Ia susulan aduan orang ramai kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengenai perlu satu garis panduan khusus kepada pembuat senjata mengetahui kepada siapa dijual bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com